KUALA LUMPUR: Pengkarya seni tempatan Farah Mohan bekerjasama dengan jenama telekung Siti Khadijah menghasilkan koleksi Embun Fajar yang menggabungkan seni lukis dan batik dalam busana solat.
Farah berkata, penghasilan busana solat itu memberikan pengalaman berbeza daripada menghasilkan arca, lampu hiasan dan lukisan kanvas. Baginya, karya yang digunakan dalam kehidupan seharian, khususnya ketika beribadah, membawa makna tersendiri.
Anak jati Kedah berusia 34 tahun itu mendapat ilham daripada suasana awal pagi ketika mencari ketenangan dan idea baharu. Rekaannya menggabungkan konsep fajar, embun pagi serta motif bunga mawar dan lili yang melambangkan kelembutan dan kekuatan.
Farah berkata, proses menghasilkan rekaan pada fabrik mengambil masa kira-kira satu hingga dua bulan. Antara cabarannya ialah memastikan corak dan warna bunga selari pada lima panel fabrik yang perlu dicantumkan.
Pengasas Siti Khadijah, Padzilah Enda Sulaiman berkata, kerjasama itu bertujuan mengangkat seni batik canting agar terus dihargai.
Koleksi berkenaan merangkumi busana wanita dan lelaki, tudung, sejadah serta 100 helai telekung batik canting sebagaimana dilapor Bernama.



