FAS perlu rangka semula pelan

Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dijangka akan mengadakan ‘bedah siasat’ sebaik Liga Premier dilabuh tirainya pada penghujung bulan ini.

Bos besar FAS, Datuk Posa Majais sudah pun memberi signal amaran, mana-mana pemain mahupun jurulatih yang gagal menunjukkan prestasi yang diharapkan akan diketepikan.

Sekarang ini, prestasi pasukan utama bersaing dalam Liga Premier seolah-olah tidak ada penawar untuk sembuh. Kekalahan demi kekalahan, termasuk aksi terbaharu di Stadium Sarawak Sabtu lalu menyaksikan Sarawak kalah lagi, tewas 4-2 di tangan Negeri Sembilan.

Dengan baki tiga perlawanan, peluang Sarawak untuk keluar dari kelompok bawahan kelihatan sudah tertutup. Masih adakah cahaya di hujung terowong?

Yang pasti, pasukan Sarawak berpotensi besar untuk mengharungi saingan play-off, peluang terakhir untuk menyelamatkan diri, kekal dalam Liga Premier musim depan. Dua pasukan terbawah Liga Premier akan menentang dua pasukan teratas Liga M3 bagi merebut dua slot Liga Premier.

Di atas kertas, Sarawak dilihat berpeluang untuk bertemu pasukan senegeri, Kuching FA dalam saingan play-off nanti. Bagi peminat di Bumi Kenyalang, ia merupakan sesuatu yang cukup menarik untuk ditonton.

Sama ada Sarawak akan kekal dalam Liga Premier atau turun ke Liga M3 musim depan bukan persoalannya… tetapi hakikatnya, FAS perlu bangkit segera, mengatur langkah lebih baik untuk menghadapi musim baharu.

Merombak pasukan secara besar-besaran bukan jalan terbaik, kerana sebahagian besar pemain Sarawak musim ini adalah generasi muda yang masih mentah pengalaman.

Apa yang perlu dilakukan oleh FAS ialah cara untuk mengadunkan pemain muda ini dengan beberapa pemain baharu yang boleh membantu pasukan.

Malah kita juga ada pemain daripada skuad Piala Presiden, mahupun Piala Belia, apa salahnya kita beri peluang kepada mereka?

Sekarang ini bukan masa untuk bercakap mengenai juara Piala Malaysia atau juara liga musim depan, tetapi sekarang ini adalah masa untuk fokus semula kepada pembentukan pasukan.

Kita perlu bermula dari A, mengenal pasti segala kelemahan, dan melakar strategi bagaimana untuk bangkit semula dalam tempoh dua atau tiga tahun, malah mungkin lima tahun. Ia bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam sekelip mata.

Lihat sahaja pasukan Sabah yang kembali ke Liga Super 2020 setelah tujuh tahun tercicir daripada liga elit itu. Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bergelut dan berusaha sehabis baik dalam tempoh 10 tahun untuk bangkit semula.

Oleh itu, FAS perlu bersiap sedia lebih awal, merangka semula pelan pembentukan pasukan untuk satu tempoh tertentu. Sekurang-kurangnya FAS tahu dan mengenal pasti hala tuju selepas ini, tanpa mengira kedudukan pasukan pada musim depan.

Suara Sarawak