ARTIKEL

Fasa pertama Pusat Komuniti Keperluan Khas di Samarahan dijangka siap Mei 2028

Fasa pertama Pusat Komuniti Keperluan Khas di Samarahan dijangka siap Mei 2028

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Fasa pertama Pusat Komuniti Keperluan Khas (SNCC) di Samarahan dijangka siap pada Mei 2028, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan RM30 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi pelaksanaan fasa pertama projek berkenaan.

Alister Sim (empat dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Fatimah (tengah) seusai merasmikan pelancaran Galeri Seni Bakat Istimewa anjuran KATSN di Plaza Merdeka.

Katanya, SNCC merupakan sebahagian daripada sistem sokongan jangka panjang dan menyeluruh negeri bagi memenuhi keperluan komuniti berkeperluan khas.

“Pusat ini merupakan usaha kita untuk meneruskan pendekatan holistik dan jangka panjang dalam pembangunan serta sokongan kepada komuniti berkeperluan khas.

“Kita menyedari bahawa sokongan tidak seharusnya terhenti apabila kanak-kanak meninggalkan alam persekolahan, sebaliknya perlu diteruskan sepanjang pelbagai peringkat kehidupan mereka, bermula daripada intervensi awal hingga sepanjang hayat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Galeri Seni Bakat Istimewa anjuran Persatuan Pembangunan Bakat dan Kebajikan Keperluan Khas Kuching (KATSN) di Plaza Merdeka di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, SNCC akan dibangunkan secara berperingkat dan dirancang sebagai pusat sokongan sepanjang hayat yang merangkumi intervensi awal, pemulihan, pembangunan kemahiran, latihan vokasional, pembangunan bakat, persediaan pekerjaan serta sokongan kediaman jangka panjang.

Katanya, komponen kediaman itu khususnya akan memberi kemudahan kepada individu berkeperluan khas yang mungkin tidak lagi mempunyai ibu bapa, penjaga atau ahli keluarga untuk menjaga mereka.

“Kita menyedari bahawa kita tidak akan berada di sini selama-lamanya.

“Suatu hari nanti, ibu bapa akan meninggal dunia dan persoalannya ialah siapa yang akan menjaga anak-anak kita?

“Justeru, konsep ini turut mengambil kira keperluan masa depan individu kurang upaya yang mungkin tidak lagi mempunyai ibu bapa, penjaga atau ahli keluarga untuk menyokong mereka,” katanya.

Menyentuh mengenai pameran Galeri Seni Bakat Istimewa, beliau berkata bahawa program tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai program kebajikan semata-mata, sebaliknya sebagai platform pembangunan bakat, keterangkuman sosial dan pemerkasaan.

“Kita sangat mengalu-alukan kerjasama erat antara KATSN dan kementerian saya, khususnya dalam memperluas latihan, sokongan sosial serta peluang kepada komuniti berkeperluan khas apabila SNCC mula beroperasi,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU