KUCHING: Pelantikan Datuk Felicia Tan Ya Hua sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) disifatkan sebagai satu detik bermakna, khususnya dalam usaha memperkasa kepimpinan wanita dalam pentadbiran awam negeri.
Beliau yang sebelum ini berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti secara rasmi mengambil alih jawatan berkenaan daripada Datuk Buckland Bangik yang bersara selepas 37 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan awam Sarawak.

Majlis serah tugas tersebut disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan berlangsung di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, Mohamad Abu Bakar berkata peningkatan penyertaan wanita dalam pentadbiran kanan kerajaan negeri mencerminkan sistem yang inklusif dan adil tanpa sebarang diskriminasi jantina.
“Prestasi yang baik akan sentiasa diiktiraf. Jika anda berprestasi cemerlang, peluang akan sentiasa terbuka tanpa mengira sama ada lelaki mahupun wanita.
“Justeru, serah tugas dan pelantikan seperti ini mencerminkan kesinambungan kepimpinan dalam pentadbiran negeri.
“Dalam masa yang sama, merit, prestasi dan semangat kerja berpasukan kekal sebagai prinsip teras kemajuan kerjaya dalam perkhidmatan awam negeri,” katanya.
Beliau turut mengingatkan para penjawat awam dan pegawai kanan agar terus bekerjasama rapat dalam semangat perpaduan serta mengamalkan sikap saling menghormati.
“Walaupun individu mampu bergerak pantas secara bersendirian, usaha dan kerjasama secara kolektif amat penting bagi membolehkan sesebuah organisasi melangkah lebih jauh dan mampan.
“Saya benar-benar percaya kerja berpasukan sangat penting. Apa sahaja cabaran yang dihadapi, kita menghadapinya bersama,” tegasnya.
Menyentuh perjalanan kerjaya Felicia dalam perkhidmatan awam, beliau berkata Felicia memulakan perkhidmatannya sebagai pegawai tadbir di Sibu pada tahun 1993 sebelum berkhidmat di beberapa daerah lain termasuk Sarikei dan Sri Aman.
“Beliau seterusnya memegang pelbagai jawatan kepimpinan penting termasuk sebagai penolong pegawai daerah, pegawai daerah, residen bahagian serta pengarah di peringkat jabatan negeri,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Buckland, atas sumbangan dan perkhidmatan panjangnya serta menyifatkan beliau sebagai seorang pemimpin berpengalaman dan berwibawa yang telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan dan pentadbiran negeri.
Sementara itu, Felicia menyifatkan pelantikannya sebagai satu detik bermakna, khususnya buat wanita di Sarawak, selain merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.
“Pengalaman luas berkhidmat di peringkat akar umbi selama lebih dua dekad membentuk kepimpinan diri, yang seterusnya akan saya terapkan dalam peranan baharu ini,” katanya.
Menyedari tanggungjawab besar jawatan tersebut, Felicia turut menyeru bimbingan serta kerjasama daripada pegawai kanan, ketua-ketua jabatan dan rakan sekerja bagi memastikan pelaksanaan dasar serta program negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Hadir sama Setiausaha Kewangan Sarawak, Datuk Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar; Peguam Besar Sarawak, Datuk Sri Saferi Ali; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datuk Hii Chang Kee serta tetamu jemputan lain.



