Ferrari Purosangue sememangnya sebuah model yang sukar dibandingkan dengan mana-mana SUV lain di pasaran.
Sebagai SUV empat pintu dan empat tempat duduk pertama keluaran Ferrari, ia masih mengekalkan DNA sebenar jenama itu menerusi enjin V12 aspirasi semula jadi yang dipasang pada kedudukan hadapan-tengah.
Kini, Ferrari membawa model tersebut selangkah lebih jauh dengan memperkenalkan pakej baharu yang dikenali sebagai Handling Speciale, yang memberi fokus kepada peningkatan aspek pengendalian dan dinamik pemanduan.
Seperti namanya, pakej ini hadir dengan talaan suspensi aktif baharu yang, menurut Ferrari, mampu mengurangkan pergerakan badan sehingga 10 peratus, selain memberikan respons stereng yang lebih pantas dan tepat.



Ferrari turut menambah baik pengalaman pemanduan menerusi pertukaran gear yang lebih agresif dan pantas, terutama ketika mod ‘Race’ dan ‘ESC Off’ diaktifkan pada sistem Manettino. Dalam keadaan pecutan kuat, sistem transmisi kini memberikan sensasi tujahan kuasa yang lebih ketara.
Dalam mod manual pula, pertukaran gear terasa lebih menyeronokkan pada putaran enjin sederhana hingga tinggi, khususnya melebihi 5,500 rpm.
Bukan itu sahaja, bunyi enjin yang dipertingkat turut menerima talaan semula supaya kedengaran lebih garang ketika enjin dihidupkan dan sewaktu pecutan maksimum.
Dari sudut penampilan, Ferrari Purosangue Handling Speciale tampil dengan beberapa sentuhan eksklusif yang membezakannya daripada model standard. Antaranya termasuklah rekaan rim baharu dengan kemasan potongan berlian, pelindung sisi gentian karbon, muncung ekzos hitam kusam, lambang Prancing Horse belakang berwarna hitam serta tulisan Ferrari dengan kemasan satin.
Di ruang kabin, sebuah plak khas turut dipasang bagi menandakan konfigurasi istimewa model tersebut.
Bagaimanapun, aspek mekanikal utama masih dikekalkan. Ferrari Purosangue terus dijana oleh enjin 6.5 liter V12 aspirasi semula jadi yang menghasilkan 725 kuasa kuda dan 716 Nm tork. Kuasa disalurkan ke keempat-empat roda menerusi transmisi klac berkembar lapan kelajuan.
Prestasinya kekal mengagumkan dengan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.3 saat, manakala 0 hingga 200 km/j dicapai dalam tempoh 10.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 310 km/j.
Setakat ini, Ferrari masih belum mengumumkan harga rasmi bagi pakej Handling Speciale tersebut. Namun, ia dijangka hadir dengan tanda harga yang lebih tinggi berbanding model standard.
Untuk rekod, Ferrari Purosangue ketika ini sudah dijual pada harga bermula sekitar RM5 juta di Malaysia, tidak termasuk pilihan tambahan.



