KUALA LUMPUR: Filem Tamil Jana Nayagan lakonan pelakon popular India yang kini Ketua Menteri Tamil Nadu, Vijay, mencatat kutipan tempahan awal tiket sebanyak RM3 juta sebelum mula ditayangkan di 134 pawagam di seluruh negara pada 23 Julai lalu.
Filem yang diedarkan oleh Malik Streams Corporation itu turut diraikan menerusi tayangan khas di TGV Cinemas, Pavilion Bukit Jalil yang menghimpunkan 1,245 tetamu daripada pelbagai sektor termasuk pemain industri, tokoh korporat dan wakil media.

Menurut Bernama, pengasas Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata sambutan memberangsangkan itu membuktikan populariti Vijay yang terus kukuh dalam kalangan penonton di Malaysia. Sebelum ini, majlis pelancaran audio filem berkenaan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember tahun lalu berjaya menarik kira-kira 85,000 peminat dan diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.
Abdul Malik berkata beliau turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Vijay di Chennai bagi mengucapkan tahniah atas pelantikannya sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu serta mengundang beliau melawat Malaysia sebagai destinasi luar negara pertama selepas memegang jawatan itu.
Beliau berkata lawatan berkenaan dijangka dapat memperkukuh hubungan Malaysia dan Tamil Nadu dalam bidang pelancongan, perdagangan, pelaburan, pendidikan serta industri kreatif. Dalam kunjungan itu, beliau turut menghadiahkan sebuah buku tulisan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertajuk Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times kepada Vijay.




