KUCHING: Pembelajaran berasaskan pengalaman menjadi antara pendekatan utama Tadika Johan dalam membentuk sikap berdikari, disiplin dan keyakinan diri murid sejak peringkat awal pendidikan.
Guru Besar Tadika Johan, Johanal Wong berkata, pendidikan di tadika itu bukan hanya tertumpu kepada pembelajaran di dalam kelas, sebaliknya turut memberi penekanan kepada pengalaman sebenar bagi membantu perkembangan menyeluruh murid.


Antara pendekatan yang dilaksanakan ialah aktiviti menanam pokok limau dan kacang panjang bagi membolehkan murid memahami proses pertumbuhan serta kepentingan usaha dan penjagaan.
“Di Tadika Johan, kami bukan sekadar meraikan apa yang anak-anak pelajari hari ini, tetapi juga sejauh mana mereka berkembang berbanding semalam,” katanya ketika berucap pada Majlis Graduasi dan Konsert Tahunan Tadika Johan Ke-23 di Muzium Budaya Borneo, semalam.
Majlis itu meraikan seramai 12 murid yang menamatkan pendidikan awal sebelum melangkah ke alam persekolahan rendah.
Johanal berkata, tadika itu turut menggalakkan pelibatan ibu bapa menerusi aktiviti membaca bersama anak pada hujung minggu yang dilaksanakan sejak empat tahun lalu.

Inisiatif itu bertujuan mewujudkan masa berkualiti antara ibu bapa dengan anak-anak, selain mengukuhkan hubungan kekeluargaan.
Murid turut diberi pendedahan kepada aktiviti keusahawanan melalui penghasilan produk serta aktiviti jual beli, di samping sistem ganjaran bintang bagi memupuk disiplin, tanggungjawab dan kesedaran tentang nilai wang.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa bahawa perkembangan anak bukan bergantung kepada pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama keluarga.
Ibu bapa perlu mengurangkan masa penggunaan telefon pintar dan memberi lebih banyak peluang kepada anak-anak untuk meneroka serta belajar secara berdikari.
Kepada murid yang bakal melangkah ke sekolah rendah, beliau berpesan supaya terus berani mencuba, menghormati orang lain, tidak mudah berputus asa dan yakin terhadap kemampuan diri.



