SELANGOR: Jaguh para renang Sarawak, Fraidden Dawan sedia menabur bakti bersama-sama negeri kelahirannya selepas ini.
Hasrat tersebut bukan lagi sebagai atlet, sebaliknya kembali sebagai jurulatih selepas lebih dua dekad berjuang di dalam kolam renang.
Keinginan itu disuarakan bagi meneruskan legasi untuk membimbing generasi baharu para renang pada masa akan datang.
“Kalau ada rezeki, bolehlah.
Mana-mana pun saya boleh jadi coach termasuk sedia mempertimbangkan tawaran dari Sarawak,” katanya ketika ditemui di Pusat Akuatik Selangor sebentar tadi.
Penampilan di Para Sukma Selangor 2026 menjadi penamat kepada perjalanan Fraidden selaku atlet para renang.
Fraidden yang mula bertanding sejak 2004 kini memasuki fasa baharu dalam kariernya apabila meneruskan khidmat sebagai jurulatih pasukan para renang Malaysia dengan kontraknya dijangka berakhir sehingga 2027.
Beliau menutup penampilan terakhirnya di Para Sukma Selangor 2026 dengan cemerlang apabila berjaya meraih enam pingat keseluruhan iaitu lima emas dan satu perak.
Daripada jumlah kutipan berkenaan, tiga emas dan satu perak hadir menerusi acara individu, manakala dua lagi emas dimenangi melalui acara 4×100 meter.
Acara individu yang menyumbang kepada kutipan emasnya ialah 100 meter gaya bebas, 100 meter kuak lentang dan 100 meter kuak kupu-kupu.
Sementara itu, satu lagi pingat perak diraih beliau menerusi acara 100 meter kuak dada (SB9).
Dua emas selebihnya pula diperoleh menerusi acara 4×100 meter lelaki dan 4×100 meter gaya bebas 34 Mata Lelaki bersama rakan sepasukan Rusdianto Rusmadi, Mully Andriano dan Galang Jabai.






