»FESTIVAL Tari dan Lagu Melayu Asli (FTLA) Ke-35 anjuran Majlis Seni Sarawak (MSS) kembali menyerikan seni Sarawak sepanjang Ogos ini dengan tiga lokasi utama, iaitu Mukah,Betong dan Lundu.
Mukah menjadi tuan rumah majlis pembukaan festival tersebut di Dewan Politeknik Mukah pada 8 dan 9 Ogos lalu.
Penganjuran FTLA bukan sesuatu yang asing dalam kalendar seni negeri ini kerana sejak diperkenalkan, festival tersebut menjadi wadah untuk memelihara keaslian seni budaya Melayu sambil menyesuaikan diri dengan arus kemodenan.
Setiap pasukan juga perlu mempersembahkan tarian wajib, iaitu tarian tradisional Melayu, serta tarian kreatif etnik yang menggabungkan unsur tradisi dan inovasi.
Melalui pendekatan ini, festival tersebut bukan sahaja mengekalkan identiti warisan, malah memberi peluang kepada seni untuk berkembang dengan cara baharu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Tellian, Royston Valentine, FTLA Ke-35 Peringkat Zon Utara 2025 yang diadakan di Mukah bertujuan mencungkil bakat baharu dalam bidang seni tari dan nyanyian tradisional.
Katanya, program tersebut sudah tentu dapat membantu memperkasakan karya seni anak jati tempatan.
“Ia bukan sahaja menjadi medan persaingan bakat, malah turut memainkan peranan penting dalam memelihara dan memartabatkan seni budaya tradisional masyarakat Melayu Sarawak.
“Selain itu, FTLA juga merupakan antara inisiatif berharga memastikan warisan budaya Melayu terus hidup dan dihargai oleh generasi muda,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah FTLA Ke35 Peringkat Zon Utara 2025 di Dewan Politeknik Mukah, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Royston berkata, festival seperti ini memberi peluang untuk menyaksikan kemunculan bakat baharu dari Zon Utara.
Jelasnya, pemenang yang terpilih akan mewakili zon tersebut ke pertandingan peringkat negeri dalam masa terdekat.
Sehubungan itu, Royston turut menzahirkan penghargaan kepada MSS atas komitmen menganjurkan program tersebut kerana ia bukan sahaja bersifat kompetitif, malah mendidik dan mengangkat martabat seni tempatan.
Dalam pada itu, beliau berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang sama ada secara tahunan atau dengan pendekatan yang lebih inklusif.
Tambahnya, MSS boleh memperluas penganjuran hingga ke peringkat akar umbi, termasuk sekolah rendah dan menengah, supaya usaha memupuk serta memperkasakan budaya melalui tarian dan lagu dapat diperkembangkan secara lebih meluas.
Sementara itu, Program Ngelakar Seni yang diadakan sempena FTLA turut mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dengan penyertaan kira-kira 250 orang.
Program tersebut turut dihadiri ketua jabatan, ketua masyarakat dan ketua kaum, wakil persatuan serta penduduk sekitar Mukah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan lapisan umur.
Dengan topik “Pembangunan Kesenian Komuniti Luar Bandar: Kesedaran untuk Warisan Generasi Pewaris”, program ini menghimpunkan penggiat seni, pelajar sekolah dan masyarakat umum bagi membincangkan peranan seni memelihara identiti serta warisan tempatan Sarawak.
Sesi tersebut dikendalikan oleh moderator berpengalaman bersamasama panel profesional dalam bidang kesenian.
Antara panel yang terlibat ialah Bapa Kaul sejak 2001 hingga kini, Edmund Slaman Tuna; penyanyi, pencipta dan penulis lirik lagu Melanau, Raymond Enyau Blidis; serta jurulatih muzik dan vokal, Christopher Spencer Latip.
Perbincangan dalam Ngelakar Seni itu memberi tumpuan kepada strategi memartabatkan seni tradisi sambil memodenkan pendekatan agar terus relevan sepanjang zaman.
Program ini turut memberi penekanan kepada pemerkasaan bakat muda serta pembangunan jaringan komuniti seni di peringkat akar umbi.
Menerusi penganjuran tersebut, MSS menegaskan bahawa kesedaran dan pelibatan aktif masyarakat merupakan kunci untuk memastikan seni budaya terus dipelihara serta diwarisi oleh generasi akan datang.
Justeru, dengan sokongan padu daripada masyarakat, penggiat seni dan pihak penganjur, FTLA Ke-35 Peringkat Zon Sarawak diyakini mampu terus memartabatkan seni budaya Melayu.
Festival ini bukan sahaja mencungkil bakat baharu, malah mengukuhkan jati diri masyarakat serta menyalakan semangat cinta warisan dalam kalangan generasi kini dan akan datang.



