ARTIKEL

Fungsi berkaitan vaksin dalam aplikasi MySejahtera – KKM

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Fungsi baharu berkaitan vaksin COVID-19 akan dimasukkan ke dalam aplikasi MySejahtera tidak lama lagi, selaras dengan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM) Dr A. Maheshwara Rao berkata fungsi baharu dalam aplikasi MySejahtera itu merangkumi aspek pendaftaran vaksin, proses vaksinasi dan pemantauan kendiri.

Bagi aspek pendaftaran, beliau menjelaskan, pengguna bukan sahaja boleh mendaftar untuk diri sendiri, malah boleh mendaftar untuk tanggungan mereka yang lain seperti warga emas yang tidak mempunyai aplikasi itu.

“Ketika mendaftar nanti, pengguna perlu mengesahkan nama, kad pengenalan dan perlu menjawab beberapa soalan, seterusnya pengguna akan menerima notifikasi tarikh suntikan vaksin.

“Justeru itu, pengguna perlu membenarkan kemudahan ‘push notification’ dalam tetapan aplikasi untuk memudahkan menerima notifikasi tersebut,” katanya dalam sesi taklimat secara maya berkaitan imunisasi COVID-19 bersama Bernama dan RTM, hari ini.

Proses vaksinasi juga akan dipaparkan termasuk lokasi menerima suntikan dan pemberian Sijil Imunisasi Vaksin COVID-19 secara digital yang boleh disimpan dalam aplikasi tersebut.

Selain itu katanya, pengguna boleh melakukan pemantauan kendiri untuk memeriksa sekiranya terdapat kesan tidak sesuai susulan imunisasi (AEFI) suntikan vaksin COVID-19 tersebut.

“Semua maklumat berkaitan vaksin dan proses vaksinasi akan dipaparkan dan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau mengingatkan pengguna agar mengemas kini versi baharu MySejahtera di Google Store dan App Store apabila sudah tersedia, selain memberi jaminan tidak berlaku kehilangan data sekiranya berlaku ‘bugging’ pada aplikasi itu.

Sementara itu, persiapan logistik bagi proses pengagihan dan penyimpanan vaksin COVID-19 juga kini bersedia sepenuhnya, termasuk dari segi peralatan serta aspek keselamatan, kata Pengarah Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi A’tia Hashim.

Jelasnya, semua lokasi penyimpanan vaksin di seluruh negara telah dilengkapi dengan peti ultra sejuk atau ultra-low temperature freezer (ULTF) selain menyediakan peti sejuk tambahan sekiranya berlaku kecemasan.

“Aspek keselamatan juga amat dititikberatkan seperti pemasangan kamera litar tertutup, menempatkan pengawal keselamatan selain akses kepada stok vaksin adalah terhad kepada pengawai yang diberi kuasa sahaja,” katanya.

Malaysia dijadualkan menerima bekalan kumpulan pertama vaksin COVID-19 dari syarikat farmaseutikal Pfizer-BioNTech, Ahad ini dan pelaksanaan PICK bagi fasa pertama akan bermula pada 26 Feb. – BERNAMA

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU

378 permohonan ALAF di Tellian belum dilaksanakan

KUCHING: Sebanyak 378 permohonan di bawah Projek Pemohon Tambahan atau Lewat (ALAF) di Tellian belum dilaksanakan setakat ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston