SIMUNJAN: Kejohanan Futsal Terbuka Simunjan 2025 bermula Sabtu ini (27 September) di Arena Seri Nancy, Simunjan.
Pengerusi kejohanan, Mohammad Zaini Morshidi memberitahu, tiga kategori dipertandingkan dan kategori wanita dijadikan sebagai pembukaan.
Menurut Zaini, sebanyak 20 pasukan mewakili pelbagai kelab akan berentap dan saingan berlangsung sehari.
“Saingan kategori wanita bermula Sabtu ini membabitkan 20 pasukan.
“Format kejohanan secara liga kumpulan untuk peringkat awal dan kalah mati untuk peringkat suku akhir dan separuh akhir,” ujar Zaini kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau akui, saingan dijangka sengit kerana pasukan terlibat menyenaraikan barisan pemain handalan.
“Hadiah cukup lumayan untuk kategori wanita. Tempat pertama hingga keempat akan menerima wang tunai RM3,000, RM2,000, RM1,000 dan RM500 termasuk piala dan pingat,” tambah Zaini.
Kejohanan terbabit dianjur bagi menambah kemeriahan suasana sempena berlangsung Pesta Simunjan 2025.



