KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing antara peminpin yang terlibat secara langsung dengan misi penghantaran oksigen ke Kalimantan Barat ketika negara itu dilanda krisis kekurangan bekalan oksigen bagi menampung keperluan Covid-19.
Gabenornya H Sutarmidji Sh M Hum berkata, mendiang sendiri mengetuai misi penghantaran itu di sempadan Engtikong-Tebedu.
“Justeru berita pemergiannya sangat dekat di hati masyarakat Indonesia terutamanya rakyat Kalimantan Barat,” katanya dalam satu pesanan yang dihantar ke Suara Sarawak sebentar tadi.
Sutarmiji berharap segala kebaikan yang dilakukan Masing dapat menjadi teladan bagi rakyat di Indonesia dan Malaysia.
“Takziah kepada keluarganya, rakyat Sarawak. Semoga segala kebaikan yang ditanamkan beliau memberi mesej yang baik kepada hubungan Sarawak dan Indonesia,” katanya.
Atas dasar perikemanusiaan dan hubungan diplomatik yang erat, Kerajaan Sarawak menghantar tujuh kontena atau 105 tan bekalan oksigen cecair (LOX) ke Kalimantan Barat bagi kegunaan pesakit Covid-19 di wilayah itu.
Simbolik penyerahan dan penghantarannya pada 28 Julai itu disempurnakan mendiang kepada Komander Tentera Nasional Indonesia Daerah Pengdam XII/Tanjungpura, Mejar Jeneral Muhammad Nur Rahmad yang mewakili Sutarmiji.
Presiden Parti Rakyat Sarawak meninggal dunia pada jam 7.05 pagi tadi di Pusat Pakar Perubatan Normah, Kuching.
Pemergian itu juga disahkan oleh anak saudaranya Nicholas Kudi Jantai.
Terdahulu, mendiang James pernah dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) setelah disahkan positif Covid-19 pada 28 September lalu.






