SEPTEMBER lalu, saya antara yang mewakili Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) menghadiri dan membuat persembahan dalam Malam Apresiasi Seni di pekarangan Stadium Tertutup Miri. Turut serta ialah beberapa artis dan penggiat seni tempatan.
Antaranya Kumpulan Teater Studio Labu Sakti, Kumpulan Kelang Kelus, Persatuan Penulis Utara Sarawak (Putera), Pekasa, wakil karyawan Tunanetra dan wakil dari Negara Brunei Darussalam.
Turut membuat persembahan adalah Zakaria Abdul Manan, Zefri Ariff dari Brunei, Affindi Jahari (Pekasa) dan beberapa ahli Putera termasuk Ketua 1 Putera, Sasterawan Negeri Sarawak, Zainal Abidin Suhaili (Abizai), Poul Nanggang, Azrinna Jamhari, Awang Aliffizan, Jun Jini Aljinoar, Jarrah Amirah.
Persembahan turut diserikan nyanyian artis terkenal tempatan iaitu Alena Murang. Malam Gema Teater dan Puisi ini sebahagian daripada pengisian program Festival Literasi Sarawak yang di bandar raya Miri yang juga menghimpunkan beberapa penulis tempatan termasuklah Pharo Abdul Hakim, Hipani Alwi dan beberapa penulis dan karyawan tempatan yang lain.
Malam Gema Teater dan Puisi ini juga menyerlahkan bakat seni golongan istimewa termasuk golongan tunanetra dan penulis dan deklamator autisme. Kesemua itu menjadi hasil Majlis Pelancaran Buku Penulisan Sarawak khususnya penulis-penulis tempatan.
Karyawan dan deklamator tunanetra pula mendeklamasikan puisi dengan cara dan gaya yang kreatif dengan membawa tongkat pukul sebagai simbol dan penghormatan untuk golongan tunanetra.
Penulis dan deklamator autisme juga mendeklamasikan puisi dengan dua kaedah dan cara laitu membaca puisi dengan membaca teks puisi dan kemudian mendeklamasikan puisi secara spontan tanpa melihat teks puisi.

Dalam majlis itu juga, pameran dan jualan buku para penulis tunanetra dan autisme turut dipamerkan dan dijual.
Festival Literasi Sarawak juga diserikan dengan pelbagai program termasuk bengkel untuk pelajar sekolah, pameran buku, seminar, majlis pelancaran buku dan sebagainya. Festival tersebut juga dilaksanakan di dalam Stadium Tertutup Miri dan di Pustaka Miri.
Tahun ini, Bandar Raya Miri dipilih untuk menjadi tuan rumah Festival Literasi Sarawak. Tahun sebelumnya dilaksanakan di bandar raya Kuching.
Malam Gema Teater dan Puisi juga simbol kerjapan dan warna-warni bandar raya Miri juga sejajar dengan keadaan geografi dan demografi bandar raya tersebut yang terkenal sebagai Bandar Raya Peranginan.
Miri bukan sahaja menjadi simbol perpaduan dan persahabatan dalam kalangan masyarakat tempatan malah menjadi kenangan dan memori indah yang tidak dapat dilupakan.

Sebelum itu, banyak program penulisan karya sastera dan seni dilaksanakan di Miri dan ini adalah salah satu daripada usaha karyawan tempatan untuk menarik minat rakyat tempatan khususnya generasi muda untuk menggalakkan minat membaca dan termasuklah aktif menulis dan berkarya.
Bagi saya, kehebatan dan kelebihan karyawan tunanetra juga tidak dapat dilupakan. Saya menyanjung tinggi kelebihan dan keistimewaan mereka kerana mempunyai semangat yang tinggi dan luar biasa khususnya dalam mendeklamasikan puisi dan berkarya sastera.
Saya bangga dan dalam masa yang sama mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana menjemput kami semua untuk mengapresiasikan seni dan kelebihan dan keistimewaan di dalam bidang dan pengkhususan seni dan sastera masing-masing.



