KUCHING: Penglibatan aktif golongan muda dalam bidang keusahawanan amat penting bagi merealisasikan matlamat pembangunan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam melahirkan inovator, penyelesai masalah, dan pemimpin perniagaan yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, berkata program keusahawanan yang dianjurkan hari ini bukan sekadar sebuah bengkel, sebaliknya menjadi platform mencetuskan idea, menyemai impian, dan memperkenalkan dunia keusahawanan kepada para peserta.
“Dalam kalangan anda hari ini, mungkin terdapat bakal pengasas syarikat, pencipta teknologi, dan pemimpin industri yang suatu hari nanti akan membuka peluang pekerjaan, menyelesaikan cabaran sebenar, dan menyumbang kepada ekonomi negeri,” katanya.
“Keusahawanan bukan sekadar memulakan perniagaan, tetapi melihat peluang di sebalik halangan dan menyelesaikan masalah yang benar-benar penting — sama ada di sekolah, komuniti, atau di peringkat global,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Bengkel Memperkasa Usahawan Masa Depan: Pemindahan Ilmu untuk pelajar STPM di Universiti Teknologi Swinburne Sarawak hari ini.
Katanya, usahawan digerakkan oleh keinginan untuk membawa perubahan, dan semangat itulah yang diharapkan dapat disemai dalam kalangan peserta sepanjang program tersebut.
Beliau turut menggalakkan para peserta agar berani tampil ke hadapan, berfikir secara berbeza, mengemukakan soalan, berkongsi idea, dan mengamalkan semangat kerjasama dalam setiap aktiviti.




