DALAM drama popular slot Samarina TV3, Ke Mana Hilang Cinta, penonton disajikan dengan kisah keruntuhan rumah tangga apabila watak Aidil, lakonan Keith Foo, berubah menjadi seorang suami yang amat toksik, cemburu buta dan mengalarni masalah mental.
Dia mengawal telefon bimbit isterinya dengan ketat, mengekat kebebasannya, memasang alat pengintip, malah bertindak kasar terhadap isterinya, Sya, lakonan Syamim Freida.
Konflik fiksyen ini sebenarnya memaparkan realiti yang amat dekat dengan masyarakat, iaitu sisi gelap di sebalik kehidupan rumah tangga yang disangka bahagia.
Namun, di luar alam drama dan skrin televisyen, penderitaan ribuan wanita yang berdepan dengan suami yang bertabiat agresif merupaka realiti yang benar-benar berlaku dan amat membimbangkan.
Sikap seorang suami yang kasar, suka memukul, memapar, memaki dan menggugut bukan tanda “terlalu sayang” atau “cemburu tanda cinta”, sebaliknya merupakan perlakuan jenayah, penderaan emosi serta keganasan fizikal yang nyata.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan ribuan kes keganasan rumah tangga dilaporkan setiap tahun, dengan majoriti mangsa terdiri daripada wanita.
Berdasarkan statistik rasmi PDRM yang dikongsikan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sebanyak 3,768 kes keganasan rumah tangga direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun 2025.
Daripada jumlah itu, 73 peratus atau 2,751 kes membabitkan mangsa wanita. Bagi tempoh enam bulan pertama 2026 pula, sebanyak 4,014 kes dilaporkan di seluruh negara.
Lebih membimbangkan, angka ini belum menggambarkan jumlah sebenar kes kerana sebahagiannya dipercayai tidak dilaporkan atau mangsa memilih untuk berdiam diri.
Persoalannya, mengapakah masih ramai isteri memilih untuk terus bertahan, berdiam diri dan sekadar pasrah dengan keadaan tersebut?
Antara alasan yang sering diberikan oleh isteri yang menjadi mangsa penderaan ialah rasa kasihan terhadap anak-anak yang masih kecil dan tanggapan bahawa mereka memerlukan kasih sayang seorang bapa.
Pemikiran sedemikian boleh mendatangkan risiko kepada mangsa dan anak-anak. Apakah bezanya membiarkan diri dipukul berulang kali dengan membesarkan anak-anak dalam persekitaran yang penuh ketakutan dan ancaman?
Anak-anak bukan penonton pasif. Walaupun mereka tidak dipukul secara fizikal, menyaksikan ibu ditampar, digulut dan dihina secara berterusan boleh memberikan kesan psikologi yang mendalam.
Mereka mungkin membesar dalam ketakutan, mengalami gangguan emosi, malah berisiko menganggap keganasan sebagai sesuatu yang normal dalam sesebuah ubungan apabila dewasa kelak.
Membesarkan anak-anak dalam persekitaran yang tidak selamat bukan bukti kasih sayang seorang ibu. Sebaliknya, mendapatkan perlindungan dan bantuan merupakan langkah penting untuk memastikan keselamatan diri serta masa depan anak-anak.
Wanita tidak seharusnya meletakkan diri dalam kedudukan sebagai mangsa untuk selama-lamanya dengan alasan “pasrah”, “reda” atau “menjaga air suami”.
Reda bermaksud menerima ujian dengan sabar sambil berikhtiar mencari jalan keluar, bukannya menyerahkan diri untuk terus diseksa dan dipukul.
Menjadi isteri yang taat tidak bermaksud membiarkan maruah dan keselamatan diri dipijak-pijak.
Apabila sesebuah hubungan mula membabitkan keganasan fizikal dan ancaman terhadap nyawa, keadaan itu bukan lagi sekadar perselisihan faham antara suami dan isteri yang boleh diselesaikan melalui pujukan atau janji manis, sebaliknya telah menjadi isu keselamatan yang memerlukan tindakan tegas.
Di bawah undang-undang Malaysia, keganasan dalam rumah tangga merupakan perkara yang tertakluk pada peruntukan undang-undang, termasuk Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Membuat laporan polis bukan semata-mata bertujuan untuk meruntuhkan rumah tangga atau memenjarakan pasangan, sebaliknya laporan tersebut boleh menjadi dokumentasi rasmi bagi mendapatkan perlindungan undang-undang yang sewajarnya, termasuk Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO).
Sekiranya pelaku menunjukkan tanda-tanda gangguan mental atau tingkah laku yang membahayakan diri sendiri atau orang lain, tindakan sewajarnya perlu diambil dengan mendapatkan bantuan pihak berkuasa serta perkhidmatan kesihatan yang berkaitan.
Sekiranya pasangan menunjukkan gangguan emosi yang tidak terkawal atau mula bertindak agresif, langkah utama adalah dengan mengutamakan keselamatan serta mendapatkan bantuan perubatan dan kesihatan mental yang bersesuaian, bukan sekadar bergantung pada kaunseling biasa.
Jika suami enggan bekerjasama, mengamuk atau terus mengancam keselamatan fizikal ahli keluarga, jangan teragak-agak untuk menghubungi pihak polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau talian bantuan yang berkaitan.
Pelaku keganasan yang dibiarkan tanpa rawatan atau tindakan sewajarnya boleh menyebabkan keadaan menjadi semakin buruk serta menambah trauma yang dialami oleh isteri dan anak-anak.
Lelaki yang benar-benar menyayangi isterinya tidak akan tergamak melakukan kekerasan atau menimbulkan ketakutan dalam diri pasangannya.
Sikap saling menghormati dan kebebasan merupakan antara tunjang utama dalam perkahwinan yang sihat, bukannya kawalan yang bersifat posesif atau ugutan.
Kepada wanita dan isteri di luar sana, buang persepsi bertahan dalam ketakutan merupakan satu pengorbanan yang mulia kerana keadaan tersebut boleh membawa kesan buruk terhadap diri sendiri.
Bangkitlah demi maruah dan keselamatan diri serta, yang paling utama, demi masa depan anak-anak yang berhak membesar dalam suasana aman dan penuh kasih sayang.



