ARTIKEL

Gawai Kitai simbol perpaduan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEMPENA sambutan Hari Gawai Dayak, kumpulan muzik muda dari Sarawak, SJ Borneo, tampil dengan karya terbaharu berjudul Gawai Kitai, sebuah lagu yang mengetengahkan semangat perpaduan budaya serta keindahan tradisi masyarakat Borneo.

Pelancaran lagu tersebut menandakan satu lagi usaha kreatif kumpulan adik-beradik itu untuk memperkenalkan budaya Sarawak kepada khalayak yang lebih luas, bukan sahaja di Malaysia malah hingga ke peringkat antarabangsa.

SJ Borneo yang dianggotai Shawn Thien, 16, dan adiknya, Jane Thien, 13, semakin dikenali menerusi identiti muzik unik mereka yang menggabungkan alat muzik tradisional dengan susunan moden dan kontemporari.

Dalam Gawai Kitai, SJ Borneo tampil dengan kelainan apabila menggabungkan pelbagai bahasa iaitu Iban, Bidayuh dan Mandarin dalam sebuah karya.

Pendekatan tersebut bukan sahaja menyerlahkan kepelbagaian budaya masyarakat Sarawak, malah menjadi simbol perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Lagu itu turut diserikan dengan penggunaan alat muzik tradisional sape, yang sinonim sebagai instrumen warisan masyarakat Orang Ulu, selain rentak djembe yang rancak dan bertenaga.

Gabungan kedua-dua elemen muzik tersebut menghasilkan irama silang budaya yang segar dan menarik, sekali gus memberikan identiti tersendiri kepada karya berkenaan.

Menurut wakil SJ Borneo, Shawn, penghasilan Gawai Kitai merupakan tanda penghargaan mereka terhadap sambutan Hari Gawai yang melambangkan kesyukuran, perpaduan dan kebersamaan masyarakat Dayak di Sarawak.

“Kami berharap lagu ini dapat menyampaikan semangat Gawai serta kegembiraan perayaan kepada semua. Pada masa sama, membolehkan lebih ramai orang merasai keindahan budaya Borneo.

“Hari Gawai Dayak yang disambut pada setiap 1 Jun merupakan perayaan penting bagi masyarakat Dayak di Sarawak.

“Selain menjadi lambang kesyukuran selepas musim menuai, sambutan itu turut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan kekeluargaan serta perpaduan masyarakat pelbagai etnik,” katanya.

Melalui lagu Gawai Kitai, SJ Borneo cuba membawa mesej bahawa warisan budaya tradisional masih relevan dan boleh diketengahkan dalam bentuk moden yang lebih dekat dengan generasi muda masa kini.

Pendekatan kreatif mereka juga membuktikan muzik tradisional mampu berkembang seiring dengan arus semasa tanpa menghilangkan nilai asalnya.

Walaupun masih muda, Shawn dan Jane menunjukkan komitmen tinggi bagi memelihara seni budaya tempatan.

Mereka aktif menghasilkan karya yang mengetengahkan elemen muzik tradisional selain sering mengadakan persembahan dalam pelbagai acara kebudayaan dan hiburan.

Keunikan SJ Borneo terletak pada keberanian mereka menggabungkan alat muzik tradisional seperti sape dengan elemen moden termasuk susunan pop kontemporari dan rentak antarabangsa.

Pendekatan itu menjadikan karya mereka mudah diterima oleh pelbagai lapisan pendengar termasuk generasi muda yang cenderung terhadap muzik moden.

Pada masa sama, usaha mereka turut dilihat sebagai langkah positif dalam memperkenalkan budaya Sarawak kepada masyarakat luar.

Dengan penggunaan pelbagai bahasa dan identiti muzik etnik yang kuat, SJ Borneo berjaya membawa mesej bahawa kepelbagaian budaya merupakan aset penting yang perlu dipelihara dan dibanggakan.

Pelancaran Gawai Kitai turut menerima perhatian pengguna media sosial yang memuji keberanian kumpulan itu mengetengahkan konsep muzik berteraskan budaya tempatan.

Ramai menyifatkan lagu tersebut bukan sahaja menghiburkan, malah mempunyai nilai warisan serta identiti Sarawak.

Selain memperkenalkan budaya Borneo, SJ Borneo berharap karya mereka dapat menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk lebih mengenali dan menghargai akar budaya sendiri.

Mereka percaya muzik mampu menjadi medium yang efektif untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan memelihara warisan tradisional dalam dunia moden hari ini.

Gawai Kitai kini boleh didapati di pelbagai platform muzik digital dan media sosial utama termasuk Facebook, Instagram, YouTube dan TikTok menerusi saluran rasmi SJ Borneo.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU