MANCHESTER: Generasi muda perlu bersedia menghadapi perubahan pesat dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan automasi, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, generasi pada masa ini akan berdepan dunia yang berbeza dan AI berkembang dengan sangat pantas.
“Pada masa depan, kamu akan bekerja bersama dengan teknologi dan juga robot,” katanya pada sesi Sarawak Agenda Town Hall ‘Sarawak Towards The Future’ sempena Lan Berambeh Anak Sarawak 2026, UK Edition pada Ahad waktu tempatan di sini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pembangunan bakat terus menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak bagi memastikan anak Sarawak mampu menguasai bidang strategik.
“Kita perlu membangunkan bakat dan pengetahuan. Sebab itu kita memberi penekanan kepada pendidikan, termasuk pendidikan tinggi percuma dalam bidang tertentu,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata ekonomi Sarawak perlu diperkukuh agar selari dengan bidang pengajian generasi muda bagi menggalakkan mereka kembali berkhidmat.
“Jika ekonomi kita setanding dengan ilmu yang dipelajari, mereka akan kembali. Jika tidak, mereka akan terus berada di luar negara,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan kewangan negeri membolehkan Sarawak melaksanakan pelbagai projek pembangunan termasuk infrastruktur luar bandar, pendidikan dan kesihatan.
Tambah beliau, pembangunan infrastruktur seperti jambatan dan jalan raya memberi impak besar kepada kehidupan rakyat luar bandar termasuk meningkatkan akses pasaran dan pendapatan.
Mengulas masa depan, beliau menegaskan Sarawak perlu terus bergerak seiring perubahan ekonomi global agar tidak ketinggalan.
Dalam masa yang sama, Abang Johari menekankan bahawa AI, hidrogen dan semikonduktor menjadi antara teras utama hala tuju masa depan Sarawak dalam membina ekonomi baharu yang lebih mampan, berdaya saing dan selari dengan perubahan teknologi global.
Katanya, hala tuju tersebut dirangka selepas negeri berdepan cabaran besar termasuk perubahan landskap politik negara serta krisis COVID-19 yang menjejaskan ekonomi.



