KUCHING: Sarawak kini mengorak langkah ke hadapan, mencatatkan lebih ramai golongan profesional yang bekerja di luar negara kembali ke negeri ini dengan hasrat untuk menyumbangkan kepakaran dan perkhidmatan mereka.
Demikian dedah Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berdasarkan artikel khas The Straits Times di Singapura yang mengkaji mengenai perkara ini.
Beliau berkata, kembalinya rakyat Sarawak ke negeri ini (untuk berkhidmat) adalah berikutan pelbagai pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan di Sarawak termasuk pembinaan loji metanol.
“The Straits Times mempunyai artikel khas dan mereka melakukan kajian sendiri bahawa terdapat ramai rakyat Sarawak pulang ke Sarawak…Ini adalah benar dan semua jurutera kami akan kembali.
“Manakala di Sarawak Metro Sdn Bhd, mereka adalah yang bekerja di Kuala Lumpur dan pulang semula ke negeri ini (untuk bekerja),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Industri Premier Sarawak (PSIEA) 2023 ke-4 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.
Bukan itu sahaja, kata Abang Johari Sarawak kini juga masih kekurangan pereka cip untuk menyokong Semikonduktor Reka Bentuk Mikroelektronik Sarawak (SMD).
Memandangkan Sarawak telah menyediakan Semikonduktor SMD, katanya negeri ini memerlukan ramai jurutera (cip) dan merekrut 20 rakyat Sarawak dan mereka akan pulang dari luar negara.
“Kami memerlukan 30 lagi (jurutera cip untuk menyokong) X-FAB di sini dalam menghasilkan cip. Cip (separa konduktor) ini digunakan dalam kereta dan ia perlu diselaraskan kerana kita tidak menggunakan pembakaran lagi kerana bahan api fosil akan digantikan oleh sel bahan api.
“Cip juga berbeza; dalam satu kereta ada 150 cip,” katanya lagi.
“Oleh itu, semenangnya terdapat keperluan untuk cip baharu ini di seluruh dunia dan saya berbangga untuk menyatakan bahawa Sarawak adalah yang pertama mengeluarkan pereka untuk cip itu,” ujarnya.
Pada majlis itu, Premier bersetuju untuk terus menyediakan peruntukan RM20 juta kepada Dana Pemulihan Perniagaan (Bizfund) Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF).
Melalui Bizfund, ia menyediakan dan menaja program pembangunan kapasiti dan pembangunan perusahaan untuk perniagaan Sarawak.
Hadir sama Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Pengerusi Business Events Sarawak (BESarawak) Datuk Abang Karim Tun Abang Openg,Timbalan bendahari SBF dan pengerusi bersama SBF Bizfund Anne Kung.



