Gotong-royong bersihkan sisa kayu di Tasik Bakun

BAKUN: Masyarakat Long Kebuho bersama Sarawak Energy bergotong-royong membersihkan sisa longgokan kayu di Tasik Bakun untuk keselamatan laluan sungai komuniti di kawasan itu, baru-baru ini.

Naib Presiden Kuasa Hidro Sarawak Energy, Polycarp Wong berkata, gotong-royong itu membantu membersihkan laluan sungai serta merapatkan hubungan antara Lembaga Sungai Sarawak (LSS) dengan masyarakat yang terlibat dalam pengoperasian mereka.

“Kami (SEB) merupakan sebahagian daripada komuniti di sini dan mereka adalah sebahagian daripada kami, dan kebanyakan kakitangan kami di sini juga berasal di kawasan Bakun.

“Pasukan kuasa hidro Sarawak Energy Bakun dan Murum terus bekerjasama dengan penduduk Bakun dan Murum di Belaga untuk memberikan sokongan apabila perlu dan pengagihan pelaburan sosial kami,” katanya dalam satu kenyataan media, Selasa.

Long Kebuho mempunyai 100 isi rumah dan bergantung sepenuhnya kepada sungai sebagai laluan pengangkutan utama dan sumber pendapatan mereka. Sisa longgokan kayu yang terapung itu terletak sekitar 80 kilometer (km) ke hulu loji kuasa hidro telah menghalang kemudahan pelayaran sungai bagi komuniti di kawasan itu.

Aktiviti pembersihan sungai itu dirasmikan oleh Menteri Muda Utiliti (Elektrik Luar Bandar) merangkap Adun Belaga Datuk Liwan Lagang yang turut mengambil bahagian dalam gotong-royong yang dianjurkan oleh LSS pada Selasa lalu.

Seramai 12 anggota Sarawak Energy bersama pasukan pembersihan, pegawai LSS serta 40 penduduk kampung Long Kebuho bergotong-royong membersihkan sungai tersebut.

Semasa aktiviti gotong-royong dijalankan, Sarawak Energy turut menyumbangkan jaket keselamatan, pelitup muka dan cecair sanitasi tangan untuk melindungi keselamatan peserta gotong-royong daripada risiko penularan Covid-19.

Sebagai sebahagian daripada keperluan operasi, Sarawak Energy membersihkan sisa kayu terapung yang terdapat dalam radius 15 km empangan untuk melindungi HEP Bakun berkuasa 2,400MW yang menjadi sebuah kemudahan yang amat penting untuk permintaan kuasa di Sarawak.

Pembersihan longgokan kayu terapung juga penting untuk memastikan penduduk kampung yang tinggal di hulu mempunyai laluan perahu yang selamat di tasik dan anak sungai.

Suara Sarawak