
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengeluarkan manifesto bagi Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRU-15) pada 6 November ini, sehari selepas penamaan calon.
Premier merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata manifesto itu adalah bertemakan ‘Sarawak Diutamakan’ (Sarawak First), yang menjadi kekuatan GPS.
“Kita teguh dengan manifesto walaupun ada orang kata ia bukan kitab suci.
“Dulu manifesto mereka ‘abu dan sudu’, banyak perkara dijanjikan tapi tidak dilaksanakan dalam masa 22 bulan memerintah,” katanya yang merujuk kepada Pakatan Harapan (PH) ketika mengumumkan calon-calon GPS bagi PRU-15 di ibu pejabat PBB, di sini hari ini.
Justeru, beliau mengingatkan rakyat Sarawak agar tidak mengulangi seperti apa yang berlaku selepas PRU-14 iaitu pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
“Orang Sarawak jangan lihat pisang berbuah dua kali,” ujarnya sambil menjelaskan, GPS akan terus mempertahankan jak Sarawak.
Abang Johari menambah GPS mempunyai dasar yang jelas, termasuk dalam memperjuangkan perkara-perkara yang belum selesai di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya setakat ini, GPS melalui ahli-ahli Parlimen dan menteri, khususnya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Undang-Undang dan Parlimen) telah berjaya apabila beberapa perkara dalam MA63 termasuklah Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) telah diiktiraf dan dimasukkan sebagai sebahagian dalam Perlembagaan Malaysia.
“Terima kasih kepada ahli-ahli Parlimen kita yang telah berkhidmat dalam kerajaan lalu, khususnya mereka yang memberi laluan untuk calon bahari yang kita kemukakan,” katanya.