Trending

GPS tidak tunduk kepada DAP, PH

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Miro Simuh

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menegaskan keputusan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah demi kebaikan negara dan akur kepada Yang di-Pertuan Agong, bukannya tunduk kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) atau Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pemuda PBB, Miro Simuh berkata ia kerana selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tiada majoriti jelas daripada parti yang bertanding untuk membentuk kerajaan persekutuan sehingga membuatkan Agong menitahkan bahawa Kerajaan Perpaduan mesti dibentuk untuk menyelesaikan kebuntuan politik.

Justeru, katanya GPS sebagai gabungan yang mematuhi prinsip dalam rukun negara – berikrar taat setia kepada Raja dan Negara, mematuhi titah Agong itu.

“Kerajaan persekutuan yang stabil diperlukan dan GPS menjalankan peranannya untuk mengetepikan perbezaan dan bekerjasama dengan parti-parti merentasi jurang politik untuk kebaikan negara.

“Kerajaan persekutuan sekarang adalah Kerajaan Perpaduan dan bukan kerajaan Pakatan Harapan.

“Untuk mengatakan bahawa GPS menyertai kerajaan Pakatan Harapan adalah imaginatif,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang menyatakan DAP dan PH dapat meyakinkan GPS untuk mengubah pendirian awal dan menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Chong, walaupun GPS mungkin mempunyai jawatan menteri dari Sarawak, mereka kini tertakluk kepada prinsip asas PH.

Sehubungan itu, Miro yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu berkata pihaknya berharap agar Kerajaan Perpaduan akan dapat menstabilkan politik negara dan mempercepatkan pemulihan ekonomi.

“Kami juga berharap dengan perwakilan yang kuat oleh Sarawak dalam kerajaan persekutuan, ia juga akan memudahkan pengembalian lebih banyak hak kepada Sarawak seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru