ARTIKEL

Foto: Ramidi Subari

GPS tuntut formula agihan hasil gas lebih adil

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memperjuangkan formula pembahagian hasil gas yang lebih adil kepada negeri ini tanpa menjejaskan kepentingan nasional.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan diambil kerajaan negeri bukan bertujuan membunuh industri sedia ada, sebaliknya memastikan Sarawak menerima hak sewajarnya sebagai pengeluar utama sumber gas di rantau ini selaras dengan peruntukan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita tidak tamak. Ada yang kata kita nak bunuh angsa emas, tetapi kita tidak ada niat berbuat demikian.

“Kita hanya mahu keadilan. GPS hanya mahukan sesuatu yang adil kepada Sarawak sebagai pengeluar gas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan amanat selaku Pengerusi GPS sekali gus merasmikan Konvensyen GPS 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Abang Johari menegaskan, kerajaan Sarawak telah merangka pendekatan tersendiri bagi memastikan hasil sumber asli dapat diagihkan secara saksama tanpa menjejaskan operasi syarikat berkaitan, termasuk Petronas.

Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa Sarawak kini berada pada landasan kukuh untuk memacu pertumbuhan ekonomi masa depan menerusi pembangunan sektor tenaga, gas dan teknologi berimpak tinggi.

Katanya, Sarawak telah mempunyai pelan hala tuju gas yang jelas, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara pengeluar utama metanol di rantau ini, khususnya di Bintulu.

“Malah, Bintulu turut diiktiraf sebagai kluster industri karbon rendah baharu oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), sekali gus mencerminkan potensi besar negeri ini dalam pembangunan industri tenaga mampan.

“Semua ini kita usahakan sendiri. Kluster gas ini akan memberi manfaat besar termasuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada anak Sarawak,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan Sarawak turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur strategik termasuk cadangan pelabuhan gas baharu dan lapangan terbang di Tanjung Embang.

“Ini bukan sekadar projek mega, tetapi pelaburan yang akan merangsang pembangunan ekonomi di kawasan tersebut.

“Pendekatan itu boleh dilihat melalui pembangunan Lapangan Terbang Changi di Singapura oleh Perdana Menterinya yang Pertama, Lee Kuan Yew, yang pada ketika itu berani merancang pembinaan lapangan terbang berskala besar walaupun negara tersebut masih di peringkat pembangunan,” katanya.

Mengulas mengenai sektor penerbangan, beliau berkata penubuhan Air Borneo memainkan peranan penting memperluaskan akses pelancongan ke Sarawak melalui penerbangan terus, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada hab sedia ada.

Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan bahawa pendekatan GPS yang menumpukan kepada kerja dan hasil berbanding retorik politik menjadi antara kekuatan utama kerajaan negeri.

BERITA LAIN

Impian besar Kupang Strike

SABTU depan, Kampung Kupang Hilir di Saratok bakal mencipta satu lagi kenangan tersendiri apabila Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menganjurkan pertandingan memancing yang dinamakan

BERITA TERBARU