KOTA KINABALU: Keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 setakat 10.05 malam menunjukkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendahului dengan kemenangan di 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sabah mempunyai 73 kerusi DUN dan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri ialah 37 kerusi.
Parti Warisan meraih kemenangan di 18 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) dengan sembilan kerusi; Pakatan Harapan (PH) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) masing-masing dua kerusi; manakala Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing satu kerusi.
Calon Bebas pula mencatat kemenangan di lima kerusi.
Keputusan itu turut menyaksikan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, mempertahankan kerusi DUN Sulaman; Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mengekalkan DUN Senallang; dan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, mempertahankan DUN Kadamaian.
Dua tokoh politik veteran — Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman, serta bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia — masing-masing tewas di DUN Bongawan dan Pintasan.
Keputusan malam ini juga membawa kejutan apabila DAP gagal mempertahankan kesemua lapan kerusi yang ditandinginya.



