NILAI: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil meminta golongan pendidik agar tidak menjadikan pelajar terutama murid sekolah rendah sebagai bahan kandungan di laman media sosial masing-masing.
Beliau berkata hal ini kerana kandungan sedemikian boleh disalah guna oleh individu yang tidak bertanggungjawab termasuk bagi tujuan jenayah seksual kanak-kanak.
Beliau berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam perkara ini dan menjadikan ia fokus utama untuk memastikan Internet selamat digunakan.
“Kementerian sediakan Internet di semua sekolah, ada kira-kira 4,000 sekolah yang disasarkan untuk projek titik kehadiran, apa guna ada Internet murah, laju dan meluas tapi tidak digunakan dengan selamat, kita nak ia selamat digunakan terutama bagi kanak-kanak dan keluarga,” katanya.
Fahmi juga berkata kempen Jelajah Internet Selamat yang dianjurkan dengan kerjasama Pusat Sebaran Maklumat Nasional dan dirancang melibatkan 10,000 sekolah seluruh negara dijangka bermula dengan sekolah di sekitar Lembah Klang selepas Aidilfitri ini.
Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata guru wajar memahami trend terkini membabitkan kandungan kanak-kanak di media sosial supaya generasi itu dapat dikawal dan diberikan penjelasan sekali gus tidak kecanduan dengan pengisian negatif di Internet. – Bernama



