SESIAPA yang kenal huruf dan celik huruf, dapat membaca dan mengira pada hari ini pasti disebabkan oleh peranan dan sumbangan guru.
Baik anda juruwang, pensyarah, pemimpin politik, peguam, pakar IT atau doktor, anda tidak dapat mendabik dada bahawa kejayaan itu adalah disebabkan oleh anda seorang.
Banyak pihak yang menyumbang kepada kejayaan anda dalam hidup dan kerjaya, termasuk para guru.
Guru sekolah rendah dan menengah serta pensyarah di kolej atau universiti telah membantu untuk membentuk perwatakan, keperibadian dan kepakaran anda.
Jadi, anda tidak boleh mendabik dada bahawa kejayaan anda adalah semata-mata kerana kegigihan dan kepintaran anda seorang.
Setiap hari guru, kita tentu teringat akan sebuah puisi menarik dan bermakna karya Sasterawan Negara dan penyair agung, Datuk Usman Awang, berikutnya:
Jika hari ini seorang Perdana
Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja
menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden
sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang
mulia
Jika hari ini seorang peguam
menang bicara
Jika hari ini seorang penulis
terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja
menjadi dewasa;
Jasa dan sumbangan guru perlu sentiasa diingati.
Mereka tidak seharusnya dilupakan.
Guru merupakan barisan depan dalam mendidik, membentuk peribadi dan perwatakan serta melahirkan insan yang berilmu, mahir, beradab dan beradat.
Memang, pelbagai jenis dan watak guru telah mengajar kita sepanjang berada di bangku sekolah.
Ada guru yang garang, lembut, suka berjenaka.
Ada yang kita tidak suka malah benci.
Tidak kurang juga yang kita sukai.
Saya percaya lebih ramai yang kita sukai daripada tidak sukai.
Kalaupun ada segelintir guru yang tidak kita senangi, alasannya mungkin ketika kita di bangku sekolah dahulu, guru terbabit begitu garang, tidak ada simpati, dan suka menyindir atau mengkritik.
Seyogia diingat, walau apa-apa pun, tujuan mereka sebenarnya adalah satu: Untuk memastikan pelajar dan murid yang dididik berjaya dalam pelajaran dan kehidupan.
Juga, menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara.
Tidak ada guru sejati yang mahu melihat anak didiknya gagal dalam pelajaran dan kehidupan.
Saya percaya sebahagian besar guru kita ialah guru yang dedikasi, tekun dan komited terhadap tugas yang diamanahkan di atas bahu mereka.
Mereka bangga apabila ada daripada anak didik mereka berjaya dan cemerlang dalam kerjaya sehingga menjadi terkenal dan terbilang dalam bidang mereka.
Bagi saya, guru yang cemerlang bukan sahaja perlu pakar dalam mata pelajaran yang diajarnya, dari segi kandungannya, tetapi juga dari segi strategi, kaedah dan teknik pengajaran.
Keberkesanan pengajaran melalui pelbagai kaedah yang berkesan akan menyebabkan pelajar seronok belajar.
Apabila pelajar seronok belajar, pasti mereka berminat untuk mengikuti pelajaran terbabit.
Saya harap tidak ada lagi guru yang mengajar Sejarah hanya dengan membaca buku teks atau menyalin nota di atas papan tulis.
Guru yang unggul adalah umpama pelakon di atas pentas — dapat membawa pelbagai watak dengan pelbagai mesej dengan berkesan.
Ketika mengajar dia berupaya menjelaskan dengan sejelas-jelasnya, dengan bahasa yang mudah dan berkesan subjek yang disampaikkan.
Dia pandai menyelitkan unsur kecindan atau humor di tempat yang sesuai. Jika pelajar asyik mendengar naratif dan penyampaiannya, bermakna guru itu punya bakat besar sebagai guru.
Guru perlu memiliki sentuhan insan dan kemanusiaan, punya rasa simpati dan empati kepada pelajar.
Justeru, amat penting baginya untuk menguasai ilmu sosiologi, psikologi dan sebagainya.
Guru yang baik sentiasa menjadi inspirasi dan motivasi kepada pelajar untuk terus tekun belajar.
Sebaliknya, jika guru itu terlalu garang atau tidak mempunyai empati, sudah tentu hal ini akan menyebabkan pelajar hilang minat dan keyakinan untuk belajar.
Mereka tidak memberi perhatian kepada pelajaran yang disampaikan.
Malah, mereka hilang minat untuk pergi ke sekolah.
Sebenarnya, guru perlu memastikan bilik darjah tempat yang menyeronokkan untuk pelajar agar pelajar sentiasa ghairah untuk turun ke sekolah.
Demi melahirkan generasi masa depan yang cemerlang, guru perlu terdiri daripada mereka yang mempunyai peribadi dan watak unggul.
Jangan sampai berlaku seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul.
Kita perlu mengambil iktibar daripada peribahasa, jika guru kencing berdiri, murid kencing berlari.
Perlakuan dan tindakan guru dapat mempengaruhi dan membentuk keperibadian dan perwatakan murid.
Dan, kalau guru makan berdiri, maka murid makan berlari.
Bagi murid pula, mereka memerlukan guru yang ikhlas, dedikasi, profesional dan bertimbang rasa.
Pelajar juga perlu serius dan komited ketika belajar dan menuntut ilmu. Jangan sampai, berburu ke padang datar, dapat rusa belang kaki.
Berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi.
Guru yang cemerlang ialah insan yang mempunyai siasah yang terpuji dan mulia, berketerampilan serta berpegang teguh kepada etika. Biar mereka menjadi suri teladan dan contoh terbaik kepada pelajar.
Kita ingin melahirkan masyarakat, rakyat dan negara yang maju dari semua segi.
Dengan segala cabaran yang dihadapi masyarakat, negara dan dunia ketika ini dan pada masa depan, pastinya tugas dan tanggungjawab guru semakin mencabar.
Guru menjadi insan barisan depan yang menjadi pemangkin generasi cemerlang sesuai dengan tema Hari Guru 2023 iaitu ‘Guru Insani Pemangkin Generasi Madani’. Selamat hari guru kepada semua guru.
• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.



