SELAMAT Hari Guru. Sebahagian besar kawan-kawan saya ialah guru. Apabila tiba 16 Mei setiap tahun, saya akan mesej seorang demi seorang mereka mengucapkan terima kasih menjadi guru, walaupun mereka bukan guru anak-anak saya.
Begitu juga guru yang mengajar anak-anak, saya akan mesej dengan ucapan terima kasih kerana mereka memikul sebahagian chapter penting dalam perjalanan anak-anak kita menjadi manusia berguna.
Lapan jam sehari, lima harı seminggu dan 22 hari sebulan, guru yang dekat dengan anak-anak kita memberi ilmu.
Saya juga mendengar keluh-kesah kawan-kawan kerana guru hari ini bukan seperti dulu.
Mereka dihimpit tugas yang bersifat bukan akademik namun demi tugas kepada anak bangsa, mereka perlu menelan situasi pahit ini.
“Kadangkala kami melakukan tugasan perkeranian seperti mengambil kedatangan pelajar, merekodkan gred pemarkahan pelajar dan menghadiri mesyuarat selain tugasan mengajar,” kata kawan saya.
Maaf ya, ini bukan komplen sekadar luahan perasaan kerana normalnya manusia, ada harı kita akan berasa letih kepada persekitaran. Namun, rata-rata mereka menganggap ia kerja yang menyeronokkan.
Saya dan kawan-kawan ada bahagian menarik dijadikan kenangan seumur hidup ketika di sekolah menengah atas.
Kami sangat takut dengan guru mata pelajaran Sejarah.
Beliau sangat garang dan tegas. Kawan sekelas ketika itu berseloroh – kalau cikgu ini menjerit suaranya dengar dari sekolah kami sampai ke Bukit Aup Sibu.
Bercermin mata, bertahi lalat tepi bibir, rambut ikal sampai bahu, kadangkala ikat seketul di belakang dan sering kali masuk kelas dengan sebatang rotan.
Apabila jam menunjukkan beberapa minit kelasnya bermula, hati kami berdebar-debar.
Kami mendengar ketukan kasut tumit tingginya juga bunyi rotan yang terkena beranda.
Kami sudah siap duduk, membuka buku teks, menyediakan buku nota sambil menarik nafas panjang.
Suaranya pasti bergema terutamanya jika terlupa buku teks.
Hukumannya, kami akan berdiri sepanjang kelasnya.
Apabila kami tidak tahu menjawab soalannya, beliau akan menjerit – apa dosa saya sampaikan kamu semua bodoh! Kata-kata sampai kini kami masih ingat.
Ketika itu, kami tidak pernah berkecil hati apabila keluar perkataan bodoh.
Malah menjadi usikan dalam kalangan kawan-kawan sekolah.
Kami tidak pernah memberitahu keluarga kami digelar bodoh.
Malah tidak terdetik di hati kami untuk berdendam dengannya.
Saya percaya, sehingga kini kami berterima kasih dengannya kerana beliau menjadikan kami seorang pelajar yang berdisiplin, dan ingat kata-katanya – sekolah bukan tempat bermain, kalau nak bermain pergi ke taman permainan!
Dan, ini yang kami pesan kepada anak-anak – sekolah bukan tempat bermain, kalau nak main pergi ke taman permainan.
Saya juga sering berpesan kepada anak saya – bahawa guru itu manusia mulia, harus dimuliakan.
Jangan sesekali menyakitkan hati mereka kerana bimbang pelajaran yang diterima tidak berkat.
Ketika anak sulung saya berada di bangku sekolah menengah, saya pernah dipanggil guru PKHEM sekolah bersamasama ibu bapa beberapa pelajar lain.
Anak-anak ini berkelahi dan saling menyalahkan satu sama lain untuk perkara yang kecil.
Dalam keadaan ini, pasti guru jadi pendamai bukan untuk mencari anak siapa yang salah.
Saya orangnya sangat mudah, salah atau tidak, saya tetap anggap anak salah dan dia perlu minta maaf dengan guru, dengan orang tua kawan-kawannya termasuk kawan-kawannya.
Saya suruh dia tunduk, cium tangan gurunya kerana telah menyusahkan gurunya memanggil kami.
Dalam perjalanan pulang, dia menyatakan dia tidak salah.
Saya memberitahunya, salah atau tidak, dia telah menyusahkan gurunya – itu yang penting.
Lagipun memohon maaf bukan bererti kita salah, tunduk tak semestinya kita mengalah.
Saya mahu mereka berjiwa besar, jangan merumitkan benda senang dan mesti mempermudahkan urusan orang lain.
Sebab saya percaya, itulah yang guru ajar di sekolah selain ilmu akademik.
Kita jangan jadi ibu bapa yang menyokong perbuatan anak yang kita tidak nampak.
Mungkin anak kita sempurna di mata kita, tetapi di belakang dia menjadi sebaliknya.
Saya cukup tidak berkenan dengan sesetengah individu yang marah dan viralkan jika anak mereka dimarah guru di sekolah.
Bukankah sepatutnya kita bersifat terbuka dalam menilai kesalahan anak-anak di sekolah.
Bukan bermaksud anak kita sentiasa dipersalahkan, walaupun tidak bersalah – hakikatnya, ketika di dalam pagar sekolah, kita harus realistik menerima teguran guru.
Kita harus faham, guru insan mulia dan tinggi kedudukannya dan tugas dimainkan mereka sebagai pendidik cukup mulia, jadi wajarlah guru dimuliakan.
Guru merupakan golongan pendidik yang banyak berjasa serta menabur bakti untuk memberi pendidikan kepada anak bangsa kita.
Sebagai ibu bapa, wajar kita menasihati anak-anak supaya memberi penghormatan serta pengiktirafan tertinggi atas sumbangan mereka yang bertungkus-lumus tanpa mengenal penat lelah mendidik anak bangsa kita.
Bak kata orang tua, guru seperti lilin, membakarkan diri demi menerangi orang lain.
Oleh sebab itu, profesion guru disanjung tinggi oleh masyarakat.
Walaupun bertahun-tahun meninggalkan kerjaya, mereka tetap dipanggil cikgu.
Justeru, kita jangan jadi kacang lupakan kulit kerana mereka berkorban masa dan tenaga.
Biarpun ada kesalahan kecil guru, jangan diperbesarkan kerana mereka juga manusia biasa yang biasa melakukan kesilapan.
Justeru, wahai guruku – orang tua kami memberikan kami hidup, dan engkau mengajari kami cara menjalaninya. Selamat Hari Guru, Cikguku!