Hala tuju selepas STPM

KETIKA negara berhadapan dengan ketidaktentuan politik hingga terciptanya sejarah baharu – pelantikan Perdana Menteri interim atau sementara dan Yang di-Pertuan Agong menemu bual semua Ahli Parlimen, sebenarnya ada satu lagi catatan sejarah dicipta pada Selasa lalu.

Catatan sejarah itu melibatkan pelajar yang telah menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun 2019. Seramai 5,837 calon STPM 2019 dari Sarawak memperoleh keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing. Ada yang berwajah gembira, dan sebaliknya.

Macam-macam kisah suka dan duka. Keputusannya seperti diumumkan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak Dr Azhar Ahmad, seramai 96 calon Sekolah Menengah Kebangsaan mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNKG) 4.00 berbanding hanya 92 pelajar pada 2018.

Seterusnya, seramai 1,913 pelajar negeri ini mendapat PNKG 3.00 ke atas. Secara keseluruhannya, 24 calon lulus penuh lima mata pelajaran, manakala 3,741 calon lulus penuh dengan empat mata pelajaran. Diikuti pula 945 calon lulus penuh tiga mata pelajaran, termasuk 485 calon lulus penuh untuk dua mata pelajaran dan 299 calon lulus penuh satu mata pelajaran.

Sementara 22 sekolah pula mencatat keputusan yang sangat memberangsangkan iaitu PNKG melebihi 2.80. Biasanya, pelajar yang mencatat keputusan terbaik menjadi tumpuan. Beberapa pelajar cemerlang yang ditemui media turut mendedahkan petua kejayaan masing-masing.

Ada yang mengatakan jangan tidur di dalam kelas dan patuhi jadual belajar lima jam sehari. Semuanya akan dijadikan panduan oleh pelajar lain yang bakal menduduki peperiksaan yang sama pada tahun depan. Apa-apa pun petua yang diketengahkan, jika tidak diamalkan dengan sebaik mungkin, ia tidak akan berhasil.

Setelah 13 tahun menimba ilmu ketika bergelar pelajar sekolah sejak tahun satu lagi, pastinya cabaran selepas ini lebih mencabar. Ke mana hala tuju selepas STPM? Pastinya akan melanjutkan pengajian ke mana-mana institut pengajian tinggi sama ada di dalam atau luar negara.

Ia bergantung kepada kursus yang ditawarkan – diminati atau terpaksa diambil. Ini menuntut kesimbangan akal seratus peratus kerana ia melibatkan masa depan. Jika tersalah pilih kursus, pasti sukar untuk mendapatkan pekerjaan apabila menamatkan pengajian kelak.

Apa-apa pun, pengalaman belajar di tingkatan enam hingga menduduki peperiksaan STPM adalah pengalaman yang cukup berharga. Ini merupakan peringkat untuk pelajar menjadi lebih matang sebelum menempuh dunia luar.

Malah mata pelajaran yang diajar kepada pelajar tingkatan enam juga berbeza. Selain pengetahuan am tentang negara dan dunia, pelajar juga lebih banyak dilatih untuk berfikir tahap tinggi.

Selepas STPM, yang ditunggu lagi adalah keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019. Ia akan diumumkan pada bila-bila masa sahaja. Proses selepas itu tetap sama – mahu melanjutkan pengajian ke IPT ataupun mencari pekerjaan. Selain itu, persekolahan tingkatan enam boleh menjadi pilihan. Pengalamannya begitu berbeza.

Suara Sarawak