ARTIKEL

MERAKAM KENANGAN… Abdul Karim bergambar bersama peserta sebelum melepaskan acara Breaking News Run 2.0 Edisi Malam di Hotel Pullman, Kuching.

Hampir 1,000 peserta meriahkan Breaking News Run 2.0 Edisi Malam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Suasana malam di bandar raya Kuching bertukar meriah apabila hampir 1,000 peserta membanjiri jalan raya sempena Breaking News Run 2.0 Edisi Malam, sekali gus menyemarakkan budaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti dan pengamal media.

Program yang menghimpunkan seramai 980 peserta itu dianjurkan secara bersama oleh Commonwealth Journalists Association (CJA) Cawangan Sarawak dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA).

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, menyempurnakan pelepasan peserta di Hotel Pullman, malam tadi.

Acara dimulakan dengan sesi pemanasan badan menerusi senamrobik Zumba sebelum peserta memulakan cabaran masing-masing dalam kategori Larian Kompetitif sejauh tujuh kilometer (7km) dan Larian Santai sejauh tiga kilometer (3km).

PELEPASAN… Abdul Karim melepaskan peserta bagi memulakan Breaking News Run 2.0 Edisi Malam.

Larian kompetitif bermula pada 7.15 malam, diikuti kategori larian santai 10 minit selepas itu, dengan laluan yang membawa peserta menyusuri beberapa mercu tanda ikonik yang diterangi cahaya malam sebelum menamatkan larian di The Hills.

Pengerusi CJA Cawangan Sarawak, Nancy Nais berkata, penganjuran program tersebut bukan sekadar acara sukan, malah menjadi platform menyatukan masyarakat melalui amalan gaya hidup sihat.

SERTAI LARIAN… Pengamal media antara yang menyertai Breaking News Run 2.0 Edisi Malam di Kuching.

“Melihat seramai 980 peserta berhimpun untuk tujuan yang sama merupakan sesuatu yang amat menggalakkan.

“Kerjasama ini membuktikan banyak perkara mampu direalisasikan apabila komuniti berganding bahu menjayakannya,” katanya.

Beliau turut berharap lebih ramai masyarakat menjadikan aktiviti fizikal sebagai rutin harian kerana setiap langkah ke arah kehidupan lebih sihat merupakan satu pencapaian yang wajar diraikan.
Sementara itu, Presiden KDJA, Ronnie Teo berkata, program berkenaan turut menjadi peringatan kepada pengamal media mengenai kepentingan mengekalkan keseimbangan antara kerjaya dengan kesihatan.

“Tuntutan tugas sebagai wartawan yang sentiasa mengejar tarikh akhir serta perkembangan berita semasa tidak seharusnya menyebabkan aspek kesihatan diabaikan.

“Melalui Breaking News Run, kami mahu menggalakkan pengamal media mengamalkan gaya hidup aktif supaya kekal cergas dari segi fizikal dan mental dalam meneruskan tanggungjawab menyampaikan maklumat kepada masyarakat,” katanya.

Bagi menambah kemeriahan acara, peserta turut mengenakan baju-T bertemakan pasukan bola sepak Piala Dunia seperti Argentina, Brazil dan Jerman yang mewarnai laluan larian, sekali gus mewujudkan suasana lebih ceria sepanjang program berlangsung.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU