KUCHING: Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib, memberi jaminan akan menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Kesihatan sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Beliau berkata, komitmen tersebut selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan prinsip keadilan, kemampanan serta kesejahteraan menyeluruh.
“Pelantikan ini diharap dapat memperkukuh usaha Kementerian Kesihatan dalam mempertingkatkan sistem kesihatan negara.
“Sekali gus memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti untuk seluruh rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya hari ini.
Susulan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI yang diumumkan sebentar tadi, Hanifah yang sebelum ini menggalas jawatan sebagai Timbalan Menteri Ekonomi telah ditukar portfolio kepada Timbalan Menteri Kesihatan.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih kepada kepimpinan negara atas kepercayaan berterusan yang diberikan untuk memikul amanah sebagai Timbalan Menteri.
Beliau turut memberi jaminan akan terus melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh dedikasi dalam pentadbiran Kerajaan MADANI.
“Walaupun demikian, khidmat bakti kepada rakyat Mukah akan terus menjadi keutamaan, selaras dengan tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen Mukah,” ujarnya.



