ARTIKEL

Ng Tze Yong

Hannah harap Tze Yong sempat sembuh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menaruh harapan agar pemain badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, sempat sembuh sebelum tempoh kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Paris, berakhir April ini.

Hannah mengakui bimbang dengan situasi melanda Tze Yong yang dihimpit kecederaan tulang belakang semasa diturunkan beraksi pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, baru-baru ini. 

“Saya harap Tze Yong fokus pada pemulihan. Semoga beliau cepat sembuh dan sempat untuk kelayakan (Sukan Olimpik 2024),” katanya selepas merasmikan Siri Golf Amatur Kebangsaan 2024, di sini hari ini.

Tze Yong yang diturunkan pada perlawanan suku akhir kejohanan itu menentang pemain Singapura, Jason Teh, Jumaat lepas, hanya bertahan kira-kira tiga minit sebelum menarik diri. 

Pemain berusia 23 tahun itu ketika ini berada di tempat ke-15 dalam ranking Race to Paris dengan mengumpul 58,735 mata.

Mengikut kriteria kelayakan Olimpik Paris 2024, sejumlah 35 tempat kuota, satu tempat negara tuan rumah dan dua tempat global diperuntukkan untuk acara perseorangan.

Sebuah negara hanya boleh menghantar maksimum dua pemain dalam satu kategori perseorangan jika kedua-duanya berada di kedudukan 16 teratas pada penghujung tempoh kelayakan Race to Paris, dijadualkan pada 28 April ini.

Hannah pada masa sama enggan mengulas mengenai prestasi skuad lelaki negara yang muncul sebagai naib BATC 2024 sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan edisi 2022, selepas tumpas 0-3 kepada China.

Sementara itu, beliau berkata kementerian akan mengumpul data daripada operator lapangan golf seluruh negara dalam usaha memperkenalkan pakej mampu milik bagi memberi peluang buat golongan kurang berkemampuan merasai pengalaman bermain sukan tersebut.

Beliau berkata langkah memperkenalkan harga berpatutan ditawarkan dalam pakej yang bakal diumumkan kelak akan dapat menangkis persepsi bahawa sukan golf hanyalah untuk golongan elit.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 1,680 peserta bakal bersaing dalam kejohanan Siri Golf Amatur Kebangsaan 2024 yang diadakan di 14 negeri, bermula di The Mines Resort and Golf Club pada 29 Feb dan berakhir di Forest City Golf Resort, Johor, pada 8 hingga 10 Sept ini.

Kejohanan terbuka itu menyaksikan juara berpeluang mewakili negara pada Kejohanan Pemain Golf Amatur Dunia (WAGC) di Phuket, Thailand, dari 26 Okt hingga 3 Nov ini.

— BERNAMA

BERITA LAIN

Zii Jia sertai skuad negara ke Piala Thomas 2024

KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai penyertaan pemain profesional negara, Lee Zii Jia, dalam skuad Piala Thomas 2024 terjawab hari ini apabila namanya diumumkan dalam barisan pemain

BERITA TERBARU

PBB China sokong Palestin anggotai PBB

BEIJING: China menyokong Palestin menjadi anggota baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menyokong Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengambil tindakan berkenaan dengan secepat mungkin. Ini dinyatakan

Lelaki parah dipijak gajah di Gerik

IPOH: Seorang lelaki cedera parah akibat dipijak gajah di Tugu Peringatan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Gerik, malam tadi. Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar