KUCHING: Data Tinjauan Pendapat Risiko Dunia 2023 (jadual 1) menunjukkan hanya 15 peratus responden di Malaysia yang ditemu bual mengatakan kerajaan sangat mengambil berat kebajikan mereka berbanding 59 peratus di Kampuchea, 52 peratus di Thailand dan 32 peratus di Singapura.
Manakala, hanya enam peratus responden di Myanmar yang menyatakan kerajaan sangat mengambil berat tentang kebajikan mereka.
Felow Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA) Dato Dr. Madeline Berma berkata bagi responden di Malaysia, beban kos hidup dan penyasaran subsidi antara faktor yang menyebabkan ramai terus mengharapkan bantuan lebih tinggi daripada kerajaan.
“Di Malaysia, kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) maksimum RM3,700; RM1,200 Sumbangan Asas Rahmah untuk 700,000 rakyat Malaysia termasuk subsidi elektrik kepada golongan miskin tegar,” katanya yang dihubungi.

Menjelas lanjut, beliau berkata tinjauan pendapat itu juga mengkaji keupayaan responden untuk melindungi diri dan ahli keluarga daripada bencana.
Katanya didapati Malaysia mencatat peratusan paling rendah dari segi melindungi diri daripada bencana.
“Didapati 47 peratus responden Malaysia menyatakan mereka dapat melindungi diri daripada bencana, berbanding 83 peratus di Filipina, 74 peratus di Vietnam, 59 peratus masing-masing di Kampuchea dan Myanmar, 52 peratus di Thailand,” katanya.
Selain itu, Madeline berkata ia turut mengumpul data tentang peratusan responden yang boleh bertahan satu bulan atau lebih, sekiranya mereka hilang keseluruhan pendapatan.
Katanya data menunjukkan hanya 54 peratus responden Malaysia yang mampu bertahan satu bulan, berbanding 85 peratus bagi Singapuran, 71 peratus di Myanmar, 66 peratus di Vietnam.
Yayasan Daftar Lloyd (LRF) menerbitkan data Tinjauan Pendapat Risiko Dunia yang dikumpul daripada 147,000 individu dari 142 buah negara di dunia.
Tinjauan pendapat itu mengumpul data tentang daya tahan negara di dunia.
Terdapat empat dimensi yang dikaji iaitu individu, isi rumah, masyarakat dan penduduk.
Data menunjukkan Malaysia adalah antara negara yang mencatat pengurangan dalam daya tahan masyarakat, iaitu pengurangan sebanyak 10 mata antara tahun 2021-2023.


