Happy Kuching ceriakan malam warga kota

KUCHING: Festival Kuching ke-33 tahun ini sejak diperkenalkan pada 1986 dengan hanya beberapa gerai, kini dipenuhi 300 gerai mencatat 200,000 pengunjung dalam masa enam hari menjadikan tema Happy Kuching mencapai objektif penganjuran.

Datuk Bandar MBKS Datuk James Chan Khay Syn berkata, semua orang mempunyai masa menyeronokkan di pesta tersebut melalui pameran popular tersebut.

“MBKS membantu memupuk perpaduan dan sosial, mewujudkan peluang keusahawanan dalam kalangan generasi muda, memberi hiburan kepada orang ramai, mempromosikan lebih hijau persekitaran dan banyak lagi.

“MBKS juga mempamerkan kepada pengunjung dan pelancong mengenai keindahan bandar raya Kuching,” jelasnya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Memperingati Hari Bandaraya Kuching Yang Ke-31 di Kompleks Islam Sarawak, semalam.

Tambahnya, kesemua taman utama MBKS dijaga dengan baik dan dalam keadaan yang menarik dan selamat.

Foto: Page Sarawakku

Pada masa yang sama, kata Chan Khay MBKS komited mempromosikan kesejahteraan positif dan amalan berfaedah kepada masyarakat Kuching dengan mewujudkan komuniti tempatan lebih maju dan berpandangan jauh.

“MBKS dipilih untuk menerima anugerah utama negeri dan antarabangsa dan ia berfungsi sebagai penanda aras terhadap standard yang ditetapkan untuk kecemerlangan pihak berkuasa tempatan.

“Projek yang dicapai oleh MBKS merangkumi taman-taman rekreasi yang bersih dan indah, tandas awam yang baharu, dan sebagainya.

“Landskap dalam kawasan MBKS terus berubah secara konsisten dan standard tersebut akan memberikan kesan yang baik kepada pelawat dan pelancong ke bandar yang indah ini,” katanya.

Chan Khay berkata, semakin ramai orang awam menggunakan taman MBKS untuk aktiviti rekreasi dan latihan.

“NGO dan badan amal juga boleh menggunakan kawasan sekitar bangunan MBKS untuk mengutip dana atau aktiviti berkaitan kesihatan secara percuma,” ujarnya.

Beliau menyatakan, pihak MBKS menyediakan keistimewaan sedemikian kerana ia akan menyumbang kepada masyarakat yang lebih sihat di bandar ini dan membina hubungan yang lebih erat antara masyarakat dan kerajaan.

“Ia juga akan mewujudkan kesedaran kepada mereka yang kurang bernasib baik dan menunjukkan bahawa pihak kerajaan dan masyarakat dapat berkongsi keprihatinan antara satu sama lain.

“Saya sentiasa menggalakkan pasukan berkumpulan dengan NGO dan berwibawa bekerjasama supaya kami dapat memberikan panduan yang baik kepada masyarakat dalam memupuk gaya hidup yang sihat,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa, MBKS menjalankan banyak kerjasama dengan agensi dan pertubuhan dalam melaksanakan program dan aktiviti untuk kesejahteraan masyarakat di Bandaraya Kuching.

Suara Sarawak