PUTRAJAYA: Beberapa kawasan Batang Lupar khususnya di pesisir pantai yang berdepan risiko hakisan pantai berpotensi mengancam nyawa dan harta benda penduduk diharap agar diberi perhatian segera.
Ahli Parlimennya Mohamad Shafizan Kepli berkata, terdapat keperluan mendesak untuk menyelamatkan beberapa buah rumah penduduk yang terkesan akibat bencana hakisan pantai seperti di Kampung Maludam baru-baru ini.
“Saya difahamkan bahawa kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan projek mengatasi banjir pantai di negeri Sarawak yang akan melibatkan pembinaan struktur perlindungan banjir pantai, kawalan hakisan serta kerja-kerja berkaitan.
“Saya memohon kementerian menyalurkan sedikit peruntukan kepada pihak JPS Betong supaya mereka dapat mengambil langkah mitigasi sementara untuk menyelamatkan kawasan Kampung Maludam daripada ancaman hakisan,” katanya semasa membahas Belanjawan Madani 2026 peringkat Jawatankuasa pada Rabu (19 November).
Beliau turut mempersoalkan tarikh sebenar pelaksanaan projek yang dijangka mengambil masa kira-kira lima tahun itu.
Dalam perkembangan sama, Shafizan menggesa JPS menyediakan satu pelan komprehensif untuk menyelesaikan isu banjir yang sekian lama menjejaskan Kampung Maludam.
Tegasnya, isu banjir yang berpanjangan menyebabkan ekonomi penduduk khususnya masyarakat Iban yang menjalankan aktiviti tanaman padi dan kelapa sawit terjejas teruk.
“Saya juga meminta perhatian JPS terhadap kawasan rumah panjang seperti Rh Panjang Sungai Daun, Sungai Mulun, Sungai Pedada, Sungai Meranti, Sungai Suak dan Tanjung Baru yang mengalami masalah sama sehingga menjejaskan ekonomi penduduk termasuk tanaman padi dan kelapa sawit yang sering rosak dilanda banjir.
“Isu ini memerlukan tindakan tuntas dan penyelesaian jangka panjang demi keselamatan serta kelangsungan hidup komuniti di kawasan Maludam,” katanya.






