DUA dialog yang memberikan kesan kepada saya tahun ini. Pertama pada penghujung Januari lalu; “Encik dah sakit jantung. Jadi, banyak-banyak mengucap.” Ini ketika saya berada di zon merah Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.
Kedua, awal bulan lalu. “Oh ya, tahniah kepada anda semua sebab berada di sini,“ ucap pegawai kesihatan kepada kami sebelas orang yang mengikuti Program Rehab Jantung, juga di Pusat Jantung Sarawak.
Belum habis kami membalas dengan ucapan terima kasih, pegawai itu menjelaskan lagi; “Tahu kenapa saya ucap tahniah?” Kami terdiam. Sambil menunjuk ke arah atas, dia menyatakan, “Mungkin anda sudah berada di atas”.
Kami fikir ia bermaksud ketika kami berada di wad tingkat lima semasa menerima rawatan jantung. Rupa-rupanya maksudnya lain. Maksudnya ialah sudah tiada lagi dunia ini — meninggal dunia. Kami terdiam.
Berdasarkan rekod, sakit jantung merupakan pembunuh nombor satu negara. Dan, berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2024, penyakit jantung menjadi punca berlakunya kematian nombor satu di Malaysia yang merangkumi 16.5 peratus kematian di hospital sepanjang 2008.
Penyakit jantung koronari di negara ini dianggarkan 40,000 kes setiap tahun bagi 28 juta penduduk dan kematian akibat penyakit ini dikatakan 2.5 kali ganda lebih tinggi berbanding kanser dalam kalangan wanita. Dianggarkan 23 juta penduduk mati akibat penyakit ini pada 2030.
Setelah disahkan sebagai penghidap penyakit jantung, menjadi cabaran bagi kami untuk hidup bersama penyakit ini. Tidak kira sudah dipasang stent, pembedahan pintasan jantung atau sekadar makan ubat, banyak “nikmat” sudah ditarik balik.
Jadi, bagaimana hendak hidup dengan penyakit jantung? Banyak yang perlu dilakukan. Lebih penting lagi memahami penyakit jantung — apa yang boleh, tidak boleh dan apa yang digalakkan.
Dan, program rehab jantung adalah jawapan kepada persoalan tadi. Saya sendiri selama empat minggu berturut-turut perlu mengikuti program ini yang dilaksanakan dua kali dalam seminggu (Selasa dan Khamis) di Pusat Jantung Sarawak.
Mengapa penting? Program rehabilitasi jantung ialah program pemulihan yang direka untuk membantu pesakit pulih selepas mengalami masalah jantung seperti serangan jantung, pemasangan stent dan belon koronari, pembedahan pintasan jantung atau kegagalan jantung.
Secara umumnya, program rehabilitasi jantung merangkumi empat komponen utama iaitu senaman yang dipantau iaitu berjalan kaki, berbasikal statik, senaman aerobik ringan dan angkat berat (beban). Intensiti senaman ditentukan mengikut keadaan jantung individu.
Pada peringkat awal, senaman dipantau doktor, jururawat atau ahli fisioterapi. Kami juga menyertai sesi ceramah pendidikan kesihatan. Antaranya tentang cara mengawal tekanan darah, kolesterol dan diabetes; kepentingan berhenti merokok; pengambilan ubat yang betul, mengenali tanda-tanda amaran serangan jantung.
Seterusnya tentang pemakanan sihat iaitu kurangkan garam, gula dan lemak tepu; lebihkan sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan bijirin penuh dan mengawal berat badan.
Juga ceramah tentang sokongan psikologi untuk membantu mengurus tekanan, kebimbangan atau kemurungan selepas mengalami penyakit jantung dan memberi motivasi untuk kembali menjalani kehidupan yang aktif.
Kajian menunjukkan rehabilitasi jantung boleh mengurangkan risiko serangan jantung berulang; meningkatkan kecergasan dan stamina; mengurangkan sesak nafas dan keletihan serta membantu mengawal tekanan darah, kolesterol dan gula dalam darah.
Seterusnya meningkatkan kualiti hidup dan keyakinan untuk kembali bekerja atau melakukan aktiviti harian seperti biasa tetapi ada batasnya. Bergantung situasi badan dan jantung.
Program ini biasanya disyorkan untuk pesakit yang pernah mengalami serangan jantung, menjalani pemasangan stent, menjalani pembedahan pintasan jantung, menghidap kegagalan jantung yang stabil dan yang pernah menjalani pembedahan injap jantung.
Setelah sebulan mengikuti program ini, keadaan jantung terasa semakin baik, jumlah berat yang diangkat juga bertambah. Malah, kami dilatih untuk membuat pemeriksaan tekanan darah serta kadar kegupan jantung untuk memastikan jantung sentiasa stabil.
Bagi pesakit jantung yang ditawar mengikuti program ini, jangan tolak kerana banyak kebaikannya. Memang kita akan digasak untuk bersenam dan mengangkat beban tetapi semuanya untuk memastikan kita dapat hidup seperti biasa walaupun bergelar pesakit jantung.
Lagi pun, semua aktiviti dipantau doktor, pegawai fisioterapi serta kakitangan kesihatan lain sepanjang berada dalam program ini.
Mereka akan sentiasa bertanya, “Encik ok?”. Malah ketika berada di kaunter pendaftaran, kami akan ditanya beberapa soalan; “Encik ok hari ini? Ada rasa sakit-sakit dada?”. “Sudah makan ubat? Sarapan?” Kemudian tekanan darah diambil dari awal hingga tamat program harian.
Jadi, tiada yang hendak dibimbangkan. Lagi pula, di Sarawak, program ini ditawarkan secara percuma, tanpa sebarang bayaran. Ini sangat membantu pesakit jantung untuk hidup seperti biasa selepas ini.
Terima kasih kepada doktor, pegawai fisioterapi, jururawat serta kakitangan kesihatan di Pusat Jantung Sarawak yang memastikan kami dapat mengikuti program ini dengan jayanya sepanjang tempoh sebulan lalu.



