Hargai kerjasama semua pihak

MUKAH: Sehingga kini lebih 500 anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bahagian Mukah sentiasa bersiap siaga dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terjamin sepanjang pandemik Covid-19.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun APM ke-69, APM Bahagian Mukah menyeru masyarakat untuk terus berdisiplin dan patuh kepada norma baharu dalam usaha memutuskan pendemik Covid-19. Perkara ini dinyatakan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Matu Leftenan (PA) Jumaat Akasas ketika ditemui Suara Sarawak selepas melakukan simbolik pengibaran bendera APM di Batang Mukah.

Menurutnya, APM Bahagian Mukah amat menghargai kerjasama semua pihak sepanjang tempoh ini.

“Masyarakat di Mukah melihat sendiri penglibatan kita di lapangan terutamanya di pusat kuarantin, operasi sekatan jalan raya dan dalam komuniti. “Sesunguhnya penglibatan kita ini sejajar dengan tema sambutan kali ini iaitu ‘Perlindungan awam mampan menyelamatkan ekonomi negara’.

Ini satu visi untuk kita membantu masyarakat,” tegasnya. Katanya, sambutan menerusi dalam talian untuk peringkat kebangsaan diadakan di Ibu Pejabat APM di Selangor pada 24 Mac lalu dan disiarkan ke seluruh negara yang turut disertai Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Jumaat menyeru masyarakat untuk patuh kepada semua garis panduan SOP Covid-19 berikutan Sarawak kini masih mencatatkan pertambahan kes setiap hari.

“Elakkan pergi ke tempat sesak khasnya majlis sosial melibatkan terutamanya majlis kenduri, kahwin, tahlil dan pengebumian.

“Majlis sosial seperti ini antara faktor peningkatan kes Covid-19 di sesuatu kawasan.

Oleh itu, marilah kita terus patuh kepada arahan kerajaan dan membantu memutuskan rantaian Covid-19 ini khususnya di kawasan Mukah,” ujarnya lagi.

Secara keseluruhan, APM kini bergerak aktif di beberapa daerah antaranya di Daerah Mukah dan Dalat (120 anggota), Daerah Matu dan Daro (masing-masing 190 anggota) serta boleh dikerah pada bila-bila masa apabila terdapat keperluan.

Manakala satu unit APM baharu juga akan ditubuhkan di Tanjung Manis dan akan dikendalikan di bawah Bahagian Sarikei.

Suara Sarawak