BINTULU: Dua layang-layang gergasi berbentuk harimau dan beruang menjadi tarikan utama pengunjung ke Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) ke-17 di Bintulu tahun ini.
Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datuk Muhammad Yakup Kari, berkata kehadiran layang-layang ini menambah kemeriahan festival dan menarik minat orang ramai, terutamanya kanak-kanak.
Menurutnya, layang-layang gergasi setinggi enam meter itu didatangkan dari Perancis dan dibeli oleh pihak BDA sebagai daya tarikan pengunjung.
“Layang-layang gergasi ini bukan sahaja mencuri perhatian, tetapi juga memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk terlibat dalam aktiviti yang menyeronokkan,” ujarnya.
“Kami ingin menarik anak-anak kecil untuk datang mengambil bahagian, melawat, memerhati, dan sama-sama mempelajari tentang layang-layang. Kejayaan festival ini pada tahun lepas telah berjaya menarik minat anak-anak susulan kehadiran layanglayang gergasi gorila,” tambah beliau.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan acara pembukaan layang-layang gergasi berbentuk harimau dan beruang di Taman BIKF, Lasar Kenyalang, Bintulu, semalam.


Dalam pada itu, Yakup yakin bahawa BIKF mampu menjadi platform penting untuk membina hubungan erat komuniti dan mempromosikan Bintulu sebagai destinasi pelancongan menarik.
Beliau menegaskan bahawa festival ini mencerminkan semangat kolaborasi yang bermakna. “Jadi inilah semangat yang boleh kita bina daripada Festival LayangLayang Antarabangsa Borneo,” katanya.
Sejumlah 28 negara, termasuk Amerika Syarikat, menyertai aktiviti tahunan anjuran BDA dengan kerjasama Pejabat Residen dan Daerah Bintulu, agensi kerajaan, swasta, serta badan berkanun di Bintulu.
BIKF ke-17 yang berlangsung dari 25 hingga 29 September ini turut mendapat liputan daripada dua kru televisyen Perancis.
Antara aktiviti yang akan diadakan termasuk lawatan ke Kampung Nyalau, iaitu para peserta berpeluang menerbangkan layang-layang di pantai berpasir sambil menyaksikan perayaan “Makan Tahun” oleh penduduk tempatan.
Selain itu, Pertunjukan Malam Kebudayaan akan menyajikan pelbagai persembahan tradisional, termasuk tarian dan lagu rakyat, serta Pertandingan Ratu Kebaya yang pasti memikat hati pengunjung.
Untuk pengalaman berkhemah yang unik, festival kali ini memperkenalkan konsep glamping, iaitu pengunjung dapat mendirikan khemah berhampiran padang layang-layang.



