SKUAD Malaysia (Harimau Muda) melalui jalan berliku selepas ini setelah tewas mengejut 2-0 kepada Filipina dalam aksi pembukaan Kejohanan Bola Sepak Piala ASEAN Bawah 23 Tahun (B23) di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta malam kelmarin.
Walaupun masih ada dua perlawanan, menentang Brunei (esok) dan tuan rumah, Garuda Muda (Indonesia) pada 21 Julai, namun harapan skuad Malaysia untuk ke separuh akhir mula diragui.
Ia kerana hanya juara kumpulan daripada tiga kumpulan, dan hanya satu naib juara terbaik akan melayakkan diri ke separuh akhir.
Berbekalkan harapan tinggi, skuad pimpinan Nafuzi Zain itu memulakan saingan dengan keyakinan, menguasai sebahagian besar permainan (70 peratus), namun gagal menjaringkan sebarang gol.
Sebaliknya, Filipina melakukan serangan balas yang menghasilkan dua gol pada minit kesembilan dan minit ke-40.
Di samping menguasai 70 peratus permainan, Malaysia turut melakukan 21 cubaan, tujuh cubaan tepat, namun gagal menghasilkan jaringan.
Manakala Filipina hanya mengusai 30 peratus, dan lima cubaan, serta hanya tiga cubaan bahaya, tetapi berjaya menjaringkan dua gol.
Akhbar Nasional berbahasa Inggeris Malaysia, New Straits Times menyatakan bahawa, Harimau Muda yang dijangka menang mudah, tetapi dikalahkan oleh ‘budak universiti’ Otu Banatao yang baru berusia 18 tahun (penjaring).
“Pasukan belia negara menghasilkan keputusan yang suram,” tulis New Straits Times.
Sementara itu, akhbar The Star berkata ia sebagai “kekalahan yang mengejutkan”, manakala agensi berita Bernama memuji pertahanan Filipina dan berkata, Malaysia bernasib baik kerana tidak menerima kekalahan yang lebih teruk.
Nafuzi Zain mengakui bahawa pertahanan Malaysia lemah dan cemas pada permulaan, membolehkan Filipina menjaringkan gol.
Beliau berkata, pasukan Harimau Muda berjuang untuk menyamakan kedudukan, tetapi bergelut, sambil menambah bahawa mereka juga tidak bernasib baik ketika detik penting.
“Pemain agak gementar. Kami mencipta peluang tetapi gagal memanfaatkannya,” ujar Nafuzi pada sidang media selepas perlawanan.
Manakala sebahagian besar netizen mengecam skuad Malaysia.
Malah ada yang berbalah, bahawa pasukan Malaysia memerlukan pemain warisan untuk menang, sama seperti pasukan senior.
“Di manakah mereka yang terlalu mengagungkan pemain tempatan sebelum ini… lihat apa yang berlaku terhadap pasukan muda kita,” ujar salah seorang netizen.
Manakala seorang lagi netizen menjelaskan bahawa; “Inikah bola sepak Malaysia?
Nampaknya pasukan muda Malaysia juga memerlukan pemain warisan,” katanya lagi.
Yang pasti, tuan rumah, Indonesia memulakan kempen dengan langkah bergaya membelasah Brunei ‘tanpa ampun’ 8-0.
Ia bermakna Malaysia memerlukan usaha berganda apabila turun menentang Indonesia pada 21 Julai nanti.
Hakikatnya, masih ada ruang untuk Nafuzi memulihkan semangat dan prestasi pasukan, kerana perjuangan baru bermula, walaupun dengan ‘langkah kiri’.
Berdasarkan corak permainan, Nafuzi berjaya membentuk kombinasi yang baik dalam kalangan pemain, khususnya dalam aspek hantaran pendek dan penguasaan bola.
Cuma bahagian belakang (pertahanan) agak rapuh, dan gagal menangkis asakan mengejut lawan.
Mungkin ia sebagai pengajaran berguna bagi Nafuzi untuk memperbaikinya.
Di samping itu, bahagian serangan perlu tajam, memanfaatkan peluang terbatas, bukannya menunggu sehingga 10 peluang untuk menjaringkan gol.
Ia kerana penyerang yang bagus hanya memerlukan ‘separuh peluang’ untuk meledakkan jaringan.
Hakikatnya, skuad Malaysia mempunyai rekod yang agak buruk dalam kempen Piala ASEAN B-23, dengan hanya tempat keempat sebagai pencapaian terbaik, dan selebihnya gagal melepasi pusingan pertama sejak 2005.
Oleh itu, skuad kali ini diharapkan mampu mengubah pencapaian, sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir.
Tetapi oleh kerana kalah dalam aksi pertama, maka pencapaian lalu (tersingkir awal) sangat berpotensi untuk berulang.
Yang pasti, tugas berat menunggu Nafuzi, untuk membangkitkan semula semangat perjuangan anak-anak buahnya.
Inilah pasukan masa depan negara, yang harus membuktikan sesuatu di peringkat ini.
Pemain seperti Muhammad Ubaidullah (kapten), Aliff Izwan dan Aysar Hadi ialah antara pemain harapan untuk membentuk pasukan masa depan negara.
Hakikatnya, pertemuan dengan Indonesia nanti, bukan sekadar akan menguji taktik, tetap juga mentaliti pemain. Ia bukan sekadar bola sepak biasa, tetapi penuh emosi dan maruah.
Inilah yang perlu dijaga pasukan negara setiap kali menentang musuh tradisi itu.
Realitinya, Malaysia dan Indonesia mempunyai sejarah yang agak panjang dalam perlawanan bola sepak.
Malah apa yang berlaku di dalam gelanggang mampu menular ke luar gelanggang.
Saya masih ingat ketika Sukan SEA 1997 di Jakarta, bagaimana pasukan Malaysia dibelasah teruk oleh Indonesia (6-1).
Ketika itu, pemain Malaysia ke stadium dibawa dengan menggunakan kereta perisai baracudda, demi keselamatan.
Ketika itu, jam di tangan masih 1 tengah hari, namun ramai penonton sudah ke Stadium Senayan, sedangkan sepak mula pada jam 8 malam.
Penyokong fanatik Indonesia bergaduh sesama sendiri.
Kami wartawan dari Sarawak, yang pada mulanya menuju ke stadium, akhirnya berpatah balik, demi keselamatan dan akhirnya menonton perlawanan di kaca televisyen di dalam bilik hotel penginapan.
Baru-baru ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) enggan menerima pelawaan perlawanan persahabatan pasukan senior Indonesia sebelum ini.
Mungkin FAM mempunyai alasan tersendiri.
Hakikatnya, pasukan senior keduadua negara sedang meningkat naik, sekarang ini, dengan kehadiran ramai pemain warisan.



