ARTIKEL

Pemain Skuad Harimau Malaya Harith Haiqal Adam Fakar ketika ditemubual media setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam sebelum berlepas ke Bangkok, Thailand, untuk perlawanan menentang Laos pada 14 November ini dan menentang India di Hyderabad pada 18 November ini. | Bernama

Harith gembira Cools kembali dalam skuad Harimau Malaya, teruja beraksi bersama

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEPANG: Pemain pertahanan muda Selangor FC Harith Haiqal Adam Afkar gembira apabila ketua pasukan Dion Cools kembali disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya menjelang dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 bulan ini.

Harith yang membuat penampilan pertama dalam skuad senior ketika Malaysia tewas 0-4 kepada New Zealand bulan lepas, percaya kehadiran Cools mampu mengubah prestasi pasukan apabila bertemu Laos di Stadium PAT, Bangkok Khamis ini dan India di Stadium Gachibowli, Hyderabad Isnin depan.

Beliau berkata Cools mempunyai aura tersendiri sebagai seorang kapten dan kehadirannya dalam pasukan memberi impak positif.

“Sudah semestinya (Cools dapat ubah prestasi pasukan) sebab saya boleh katakan beliau seorang kapten yang belum pernah saya nampak sebelum ini.

Jadi bila beliau ada, aura beliau (pasukan) akan jadi berbeza.

“Cara beliau ketuai kami bukan dengan cara bercakap tapi tunjuk, beliau buat dan tunjuk, itu cara yang saya rasa susah nak cari pada seorang kapten,” katanya ketika ditemui sebelum pasukan negara berlepas ke Bangkok di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini semalam.

Ketika membuat penampilan pertama dalam skuad senior bulan lepas, Harith, 22, tidak berpeluang beraksi bersama Cools yang terpaksa menarik diri daripada pasukan kerana urusan keluarga sekali gus menjejaskan prestasi pasukan terutama di bahagian pertahanan.

Justeru, Harith mengakui teruja untuk bergandingan bersama pertahanan Buriram United itu kali ini yang akan menyertai skuad bimbingan Pau Marti Vicente setibanya mereka di Bangkok.

“Kalau diberi peluang dapat bergandingan dengan Dion (Cools), saya rasa pengalaman itu akan bertambah baik.

Walaupun tak pernah bermain bersama, tapi kami pernah berlatih dalam kem-kem latihan sebelum ini, beliau seorang pemain yang sangat bagus, berkualiti dan mempunyai kepimpinan yang sangat bagus,” katanya.

Dalam pada itu, Harith turut gembira dengan kehadiran lebih ramai bekas rakan sepasukannya di skuad Bawah 23 Tahun (B-23) dalam pasukan kali ini, antaranya Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili, sambil menyifatkan ini peluang terbaik mereka menimba pengalaman berharga.

Aksi menentang Laos dan India bulan ini juga menjadi medan Vicente mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Kejohanan ASEAN 2024 yang dijadual bermula bulan depan.

Malaysia yang muncul juara pada 2010 diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan Thailand, Kemboja, Singapura dan Timor-Leste. — Bernama

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

254 projek RTP dilaksana di Machan sejak 2021

KUCHING: Sebanyak 254 projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machan dari 2021 hingga 2026 bagi meningkatkan kemudahan asas