LAWAS: Jabatan Pertanian Sarawak dan Sabah berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk beberapa jenis hasil pertanian tanpa kelulusan sah dalam satu operasi pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Merapok, baru-baru ini.
Menurut kenyataan ICQS Merapok semalam, antara barangan yang dirampas ialah buah durian, moringa, mangga dan lada besar yang dipercayai dibawa masuk tanpa mematuhi keperluan kuarantin tumbuhan seperti yang ditetapkan oleh peraturan sedia ada.
“Semua rampasan dibuat susulan kegagalan pihak terlibat mengemukakan permit import dan sijil fitosanitari yang diwajibkan bagi kemasukan tumbuhan, bahan tanaman serta hasil pertanian tertentu ke Sarawak dan Sabah.
“Kawalan ini dilaksanakan di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) dan Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, yang memberi kuasa kepada Jabatan Pertanian Sarawak dan Sabah untuk mengawal kemasukan bahan berisiko dari segi keselamatan bio,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut turut menegaskan bahawa peraturan berkenaan bukan sahaja terpakai bagi perdagangan berskala besar, malah meliputi pergerakan individu yang membawa buah-buahan segar atau bahan tanaman hidup sama ada melalui perkhidmatan pos atau pintu masuk sempadan negeri tanpa pengisytiharan yang sah.
Tambah kenyataan itu, penguatkuasaan ketat tersebut bertujuan mencegah kemasukan perosak dan penyakit tanaman yang boleh menjejaskan industri pertanian tempatan serta keselamatan makanan negara.
“Operasi penguatkuasaan ini turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Pasukan Gerakan Am (PGA), sekali gus mencerminkan komitmen bersepadu dalam memperkukuh kawalan di ICQS Merapok.
“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa dan undang-undang sedia ada akan dikenakan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.






