ARTIKEL

Aidil Sharin Sahak

Hatrik Mujagic bawa Kuching City ke separuh akhir Piala FA

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Ajdin Mujagic meledak hatrik untuk membawa Kuching City FC membenam Kelantan City FC 4-1 pada aksi timbal balik suku akhir Piala FA Malaysia 2026-2027 di Stadium Taha Ariffin, malam tadi, sekali gus mengesahkan tiket ke separuh akhir.

The Cats kini menunggu pemenang pertemuan Selangor FC-Star City FC bagi menentukan lawan di separuh akhir, dengan Selangor berada dalam kedudukan selesa selepas membawa kelebihan 4-1 daripada aksi pertama suku akhir di Kangar.

Kuching City, yang turun di hadapan ribuan penyokong sendiri, mendahului 2-1 pada babak pertama sebelum menambah dua lagi jaringan selepas rehat untuk melengkapkan kemenangan bergaya 4-1.

Ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak berkata, barisan pemain memahami bahawa kemenangan wajib dicapai selepas aksi pertama di Kota Bharu, Kelantan, berakhir tanpa jaringan, dan mereka berjaya melaksanakan perancangan dengan baik sepanjang 90 minit.

“Sebelum perlawanan, kita bercakap mahu mendapatkan gol awal dan pemain berjaya melakukannya. Pada babak pertama, kita melakukan tekanan tinggi dan berjaya mendapatkan dua gol.

“Kredit perlu diberikan kepada para pemain kerana mereka bekerja keras dan tahu ini perlawanan yang wajib dimenangi,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, di sini, malam tadi.

Namun, Aidil mengakui The Cats hilang tumpuan seketika sebelum rehat sehingga memberi ruang kepada Kelantan City merapatkan kedudukan kepada 2-1.

“Selepas mendapat dua gol, kita sedikit hilang fokus untuk satu ketika dan mereka berjaya menjaringkan gol sebelum rehat.

“Itu perkara yang perlu kita perbaiki. Sebab itu, ketika rehat, kita tekankan supaya tidak memberi ruang mudah kepada lawan melakukan percubaan dari kawasan kita sendiri,” katanya.

Menurutnya, tindak balas pemain pada babak kedua amat positif apabila Kuching City kembali mengawal permainan dan menambah dua lagi jaringan untuk melengkapkan kemenangan.

“Kita turut membuat perubahan taktikal sekitar minit ke-65 dengan memasukkan beberapa pemain, termasuk Petrus Shitembi dan Ramadhan Saifullah.

“Keputusan itu dibuat bukan sahaja untuk mengubah rentak permainan, tetapi bagi memastikan barisan pemain mendapat minit permainan dan saya fikir keputusan baik ini datang daripada keinginan serta disiplin pasukan,” katanya.

Aidil turut memuji beberapa pemain yang jarang mendapat minit permainan tetapi tampil meyakinkan apabila diberikan peluang, termasuk Nazmi Faiz, Kaishu Yamazaki, Declan Lambert dan Ariff Farhan.

Aidil juga mendedahkan beliau melakukan rombakan besar terhadap kesebelasan utama berbanding perlawanan sebelumnya dengan menurunkan tujuh hingga lapan pemain yang lebih segar.

“Hanya sekitar empat pemain daripada perlawanan lalu dikekalkan seperti Rodney Celvin, Yuki Tanigawa, Ajdin Mujagic, selain memberi peluang kepada penjaga gol Mohd Shahril Saari.

“Gabriel Peres pula tidak disenaraikan selepas beraksi dalam perlawanan berintensiti tinggi menentang Tampines Rovers FC, manakala James Okwuosa masih mengalami kecederaan dan Jerome Mpacko Etame digantung.

“Inilah sebab kita perlukan skuad yang besar dan semua pemain perlu bersedia terutama apabila berdepan masalah kecederaan dan penggantungan beberapa tonggak utama,” katanya.

Aidil turut menjelaskan Ryan Lambert direhatkan selepas beraksi dalam perlawanan sebelum ini bagi mengelakkan risiko kecederaan susulan jadual padat.

Mengenai keserasian skuad, Aidil berkata, pemain masih memerlukan masa untuk benar-benar menyesuaikan diri dengan sistem pasukan kerana sebahagian daripada mereka belum mendapat minit secara konsisten.

“Jangan lupa, pemain bertaraf tinggi sekalipun memerlukan satu musim untuk menyesuaikan diri dengan sesuatu sistem.

“Ini baru sembilan atau 10 perlawanan dan sebahagian pemain belum bermain secara tetap. Tetapi malam ini mereka membuktikan kualiti dan masih mahu bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama,” katanya.

Beliau menyifatkan persaingan dalaman itu sebagai sesuatu yang sihat, terutama ketika Kuching City berdepan jadual padat yang memerlukan semua pemain sentiasa bersedia dan berada pada tahap terbaik.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU