ARTIKEL

Kredit: Bernama

HAWANA 2025 buka tirai hari ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika” membuka tirai secara rasmi hari ini.

Dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, sambutan HAWANA 2025 yang berlangsung selama tiga hari hingga Ahad dimulakan dengan Karnival HAWANA di ruang legar Sunway Putra Mall bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Karnival berkenaan akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran pada 3 petang ini dengan sasaran 5,000 pengunjung.

Sebanyak 20 reruai disediakan, antaranya Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro, TV AlHijrah, serta portal digital seperti RotiKaya dan Vanakkam Malaysia selain penyertaan daripada media Sabah dan Sarawak.

Selain itu, antara pengisian Karnival HAWANA adalah mini konti Bernama, pocket talk, perkhidmatan Bernama, pemberian akhbar digital, kuiz, cabutan bertuah dan cabaran baca berita.

HAWANA 2025 menerima tajaan dan sumbangan daripada hampir 100 rakan strategik, jumlah yang meningkat berbanding 44 pada tahun lepas, sekali gus membuktikan HAWANA semakin mendapat perhatian bukan sahaja dalam kalangan jabatan dan agensi kerajaan malah turut menarik sokongan sektor korporat.

Kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara dijangka berkumpul sempena sambutan tahun ini, menjadikan HAWANA 2025 sebagai platform penting untuk memperkukuh jaringan profesional serta memperkasa etika kewartawanan dalam era teknologi kecerdasan buatan (AI).

Esok, sambutan HAWANA 2025 diteruskan dengan penganjuran Forum HAWANA 2025 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, bermula 9 pagi, diikuti majlis kemuncak sambutan yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Merdeka, WTCKL.

Tarikh 29 Mei telah diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium dalam membentuk minda masyarakat bermaklumat. — Bernama

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU

ASEAN perlu perkukuh kesiapsiagaan ancaman biologi

MIRI: Latihan simulasi rentas sempadan ASEAN perlu merangkumi senario ancaman biologi di luar jangkaan bagi menguji kesiapsiagaan negara anggota serta keupayaan agensi berkaitan menyelaraskan tindakan