SIAPA sangka gadis yang dahulunya pemalu kini, mampu berdiri dengan yakin dan berani di peringkat antarabangsa mewakili Malaysia di pentas Miss Planet Antarabangsa 2023 di Kemboja.
Menjadikan ibunya sebagai dorongan, Ratu cantik Miss Planet Malaysia 2023, Hazel Angeline Arthur, 21, akui minat mendalam bidang ratu cantik menjadi sumber inspirasi untuknya terus maju.
“Mulanya, saya sertai pertandingan ratu cantik atas dorongan.
Biarpun mempunyai minat dalam bidang ini, tapi saya pemalu orangnya.
“Jadi saya belajar cara menghilangkan kekok dan malu semasa di hadapan orang ramai,” kongsinya dengan wartawan Suara Sarawak.
Dalam pada itu, gadis Bidayuh ini mampu berbangga apabila berjaya membuktikan bahawa gadis pemalu juga mampu berdiri di pentas antarabangsa.
“Saya rasa sangat bangga, bukan senang mengharungi cabaran sekali gus terpilih sebagai wakil Malaysia di pentas Miss Planet International 2023 di Phnom Pehn, Kemboja.
“Saya menyertai pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan serta perlu menang kedua-dua peringkat pertandingan, baharulah saya dinobatkan sebagai Miss Planet Malaysia 2023,” katanya.
Menerusi pertandingan ratu cantik ini, Hazel menyampaikan advokasi berkenaan penjagaan alam sekitar selaras misi Miss Planet International.
“Saya menggalak orang di luar sana menanam tumbuhan hijau kerana ia bukan saja memberi suasana persekitaran yang nyaman, malah berfungsi menstabilkan suhu persekitaran
. “Penanaman pokok ini juga bertujuan mengurangkan kesan pemanasan global melalui penyerapan karbon dioksida,” jelasnya.
KEMPEN
Di samping itu, jelasnya masyarakat boleh bermula dengan kempen kecil-kecilan contohnya mendidik adik-adik di sekolah atau didikan ibu bapa yang bermula dari rumah.
Meskipun kesannya tidak besar dari mata kasar, tetapi jika ia dipupuk, kita boleh melihat impaknya pada masa hadapan.
Besar harapan Hazel membuat yang terbaik dalam pertandingan ini kerana dia membawa nama Malaysia.
Bagaimanapun, cabaran utama bagi Hazel ialah kekangan masa dari segi persiapan kerana mempunyai kurang dari lima bulan untuk membuat persediaan.
PERSIAPAN
“Pengarah nasional saya iaitu Nickson Sim banyak membantu dari segi persiapan baju, pengucapan awam, penggayaan dan juga persiap diri dari segi mental dan fi zikal.
“Kerana kami ada 10 hari aktiviti menjelang malam akhir pada 19 November kerana aktiviti bermula pada 10 November 2023. Mental dan fi zikal harus kuat,” ujarnya.
Selain itu, katanya tidak lupa juga kepada Leo Raynold yang sentiasa memberi nasihat tentang personaliti sebagai ratu dan Adam Chen – bertangungjawab untuk latihan peragaan pentas.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kerana mempunyai keluarga yang sangat menyokong minat saya, terutama ibu
. Dia yang menemani saya ke mana-mana saja sepanjang persiapan,” katanya.
Menyentuh tentang kostum nasional, Hazel berkata, ia diinspirasi daripada suku kaum Bidayuh oleh pereka fesyen Sarawak iaitu Boan Couture.
“Saya juga membawa gaun kontemporari Bidayuh sebagai salah satu pakaian untuk menghadiri majlis penting di Kemboja.
“Saya berharap boleh mencipta sejarah untuk Malaysia dan Sarawak kerana saya ingin membawa pulang kemenangan tersebut,” ucapnya.
Sementara itu, Hazel merakam penghargaan kepada pereka fesyen yang menyumbang tenaga dan kreativiti mereka untuk menghasilkan baju sepanjang pertandingan iaitu Pris Bridal Boutique, Boan Couture, Anne’s Tailor dan Shaiful Sazli Hairee & Narya Fashion.
Tidak lupa juga kepada Jasrina Jasni, Art Figura yang menyediakan buah tangan dari Malaysia untuk semua peserta Miss Planet Organisation dan kru.
AKSESORI
“Terima kasih kepada jurugambar Faridz Salleh yang menyediakan koleksi gambar pakaian harian untuk dipakai di Kemboja.
“Leo Raynold dan Nickson Sim bertangungjawab menyediakan segala aksesori dan juga penggayaan bagi memastikan semuanya teratur dan sempurna untuk dipersembahkan,” ujarnya.
Untuk pengetahuan, Miss Planet International 2023 ialah edisi ketiga diadakan di Phnom Pehn, Kemboja.
Pada tahun lepas dimenangi oleh Maria Luisa Varela dari Filipina.
Misi Miss Planet International adalah berkaitan penjagaan alam sekitar dan menyebarkan mesej berkenaan alam sekitar kepada orang ramai.