KUCHING: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) menggesa kesemua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 untuk hadir bagi menduduki Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang bermula 31 Disember, hari ini.
JPNS menerusi hebahan “Jum Turun SPM Gik” turut memaklumkan bahawa seruan tersebut juga melibatkan kehadiran bagi Ujian Bertulis SPM yang akan bermula pada 2 Januari hingga 6 Februari tahun hadapan.
Justeru, JPNS juga memohon kerjasama ibu bapa, penjaga, waris, jiran tetangga, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Persatuan Ibu Bapa Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) serta Ketua Masyarakat untuk membantu memastikan anak-anak yang menduduki Peperiksaan SPM dapat hadir mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.
“Kehadiran anak-anak ini adalah penting untuk masa hadapan termasuk dari segi
kemajuan, kesejahteraan dan karier mereka.
“Kami ini juga menyeru agar anak-anak ini diberi sokongan moral agar mereka bersedia menduduki peperiksaan SPM secara mental dan emosi,” katanya.
Dalam hal berkaitan, JPNS memaklumkan, pihaknya amat menghargai sokongan dan kerjasama semua pihak yang terlibat serta berdoa agar anak-anak ini akan berjaya di masa hadapan.
Sila maklum dan bincang dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sekiranya calon mempunyai masalah untuk hadir bagi menduduki peperiksaan kerana kejayaan Anak Sarawak dalam peperiksaan SPM 2024 adalah tanggungjawab semua.
Untuk rekod, hebahan tersebut telah dikongsikan sekali gus dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial Facebook dan tular dalam masa kurang 24 jam.
Ia juga mendapat pelbagai respons menerusi ruangan komen dan ramai yang menyatakan bahawa anak-anak perlu memandang serius tentang kepentingan pendidikan serta perlu menitikberatkan kehadiran calon.
Kementerian Pendidikan (KPM) juga sebelum ini memaklumkan bahawa peperiksaan SPM 2024 akan bermula pada 2 Disember hingga 6 Febuari depan.
Sehubungan itu, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid JPNS, Zamzaitul Akmal Hisham Ahmad memaklumkan kenyataan tersebut adalah usaha JPNS untuk mengambil tindakan berhubung cadangan pusat supaya intervensi dapat diperluaskan menerusi hebahan.
“Ia penting untuk menggalakkan calon SPM 2024 hadir menduduki peperiksaan yang telah ditetapkan supaya peratusan kehadiran berada pada tahap maksimum,” tegasnya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.



