TIADA yang menjangka malam itu akan menjadi pemisah antara sebuah kehidupan dengan kematian dan kehilangan. Pada petang hujung November, langit di utara Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat, berubah kelabu. Malam itu lain.
Sejak awal, angin yang berhembus dari Selat Melaka menggila, seolah-olah ada sesuatu yang meraung marah dari langit.
Televisyen menyiarkan amaran cuaca sejak awal; bahawa siklon terbentuk di perairan barat Sumatera, membawa angin kencang dengan hujan tidak menentu.
Namun, tiada yang menyangka arus siklon itu bakal bertembung dengan limpahan air dari gunung, bagaikan sebuah kombinasi maut.
Siklon Tropis Senyar Selat Malaka, menjadi pemantik awal, memicu hujan ektsrem.
Warga kampung di pinggir pergunungan mula mengawasi sungai yang tiba-tiba lebih keruh dan deras.
Sejak awal, desas-desus tanah retak di hulu sungai tersebar, namun belum ada yang mengesahkan.
Di kampung yang satu lagi, nenek sedang menidurkan cucunya yang merengek ketakutan kerana bunyi angin terlalu kuat. Setiap kali angin menggeser atap, rumah kayu mereka bergetar. Di puncak gunung jauh di hulu, hujan turun lebat umpama “hujan setahun terkumpul untuk turun sehari” malah mencapai curahan lebih 300 mm dalam satu hari. Ia membentuk takungan air besar di balik dinding tanah dan batu yang rapuh. Takungan raksasa itu menunggu masa untuk pecah.
Malam itu, di bawah langit terbuka, akhirnya air bah bercampur batu, kayu dan lumpur mengalir menuruni lembah dengan kelajuan luar biasa. Ia bukan sekadar banjir.
Ia gelombang kemusnahan setinggi beberapa meter, meluncur bagai binatang buas yang baru dibebaskan. Dalam masa beberapa minit, arus itu menghentam lembah dan lurah serta kampung dan memusnahkan rumah serta pokok yang dilalui.
Jeritan kaum ibu bercampur deru air, tenggelam dalam bencana. Ramai yang tidak sempat mencapai barangan berharga, pakaian, bahkan tidak sempat menyelamatkan diri. Semua berlaku terlalu pantas.
TENGGELAM
Di sebuah kampung, air lumpur menyerbu ketika kebanyakan orang baru terjaga.
Ada yang berteriak, “lari ke bukit!” tetapi suaranya hilang ditelan deru banjir.
Ada yang sempat menarik tangan isteri, namun arus yang ganas merampas dan menghanyutkan mereka di antara serpihan rumah.
Terdapat kampung yang seolaholah diserang dari dua arah: dari gunung oleh banjir bandang, dan dari langit oleh angin siklon yang mengganas.
Atap berterbangan, pokok kelapa tumbang dan tiang elektrik roboh menyulut percikan api singkat sebelum semuanya padam.
Kampung itu tenggelam dalam gelap dan dingin malam serta hirukpikuk.
Di sebuah rumah kecil di tepi lereng, seorang budak sempat memanjat loteng rumah ketika air mula memasuki rumah. Dia memanggil ibunya berkalikali, tetapi ibunya tidak sempat menyusul. Pintu rumah pecah, dan arus yang masuk mendorong tubuh kecilnya keluar melalui jendela, menghanyutkannya ke dalam gelap malam.
Menjelang pagi, hujan mula reda perlahan-lahan, seolah-olah habis lelahnya.
Angin siklon beralih arah ke utara, seakan-akan meninggalkan lembah itu setelah merampas segalagalanya.
Keladak banjir dengan kayu dan pohon mula mengendap, namun hanya meninggalkan kesunyian yang jauh lebih menakutkan daripada bunyi bisingnya tadi.
Kisah malam berakhir di situ, tetapi banjir bandang yang meluru masih menyeksa mangsanya di beberapa kawasan lain di bawah langit suram musim tengkujuh.
Di kampung yang diterpa bencana pada malam itu, ketika matahari naik, pasukan penyelamat pertama tiba.
Mereka berdiri terpaku di tanah yang dulunya berdiri teguh empat kampung.
Kini, yang terlihat di sesetengah tempat, hamparan lumpur setebal separuh rumah, bahkan • “ Ia bukan sekadar banjir. Ia gelombang kemusnahan setinggi beberapa meter, meluncur bagai binatang buas yang baru dibebaskan.
Dalam masa beberapa minit, arus itu menghentam lembah dan lurah serta kampung dan memusnahkan rumah serta pokok yang dilalui.” sebahagiannya mengubur terus rumah warga.
Tidak ada lagi batas jalan, tiada lagi masjid kecil, tiada lagi balai yang sering digunakan sebagai tempat pertemuan penduduk. Semuanya hilang.
Seorang penyelamat menunduk memeriksa pintu kayu yang tersangkut di batu besar.
Di atasnya, seorang anak kecil terbaring kaku, namun masih bernafas, tangannya menggenggam erat sehelai kain sarung lusuh.
“Di mana rumahmu, nak?” tanya penyelamat perlahan. Anak itu memandang lembah yang kini sunyi, hanya suara burung sesekali terdengar. Dengan suara serak, dia menjawab, “rumah saya… ada di sini semalam!”
KENANGAN
Di situlah hakikat yang paling menyayat hati; empati kampung yang meriah, penuh kehidupan, penuh tawa, lenyap hanya dalam satu malam.
Tinggal nama, tinggal kenangan, dan tinggal cerita yang akan dinukilkan generasi yang terselamat, sebagai peringatan bahawa alam, apabila marah, mampu menelan isu bumi hanya dalam sekelip mata.
Penceritaan di atas, ialah sebuah pengisahan secara kreatif imaginasi dan bebas, berkaitan kehilangan beberapa kampung hanya dalam satu malam.
Di lokasi kejadian sebenar, Gabenor Aceh, Muzakir Manas memberitahu, “tadi ia ada di sini, sekarang sudah hilang,” beliau menahan sebak dan menganggap tragedi itu umpama tsunami kedua buat Aceh.
Gabenor memberitahu empat kampung di daerah Sawang, Jambo Aye di Aceh Utara hingga kampung di kawasan Peusangan, Bireuen hilang pada kejadian 29 November itu.
Peneliti Hidrologi Hutan dan Konservasi DAS UGM Dr. Ir. Hatma Suryatmojo berkata, kerosakan benteng alam di kawasan hulu daya rosaknya melebar dengan hutan yang sepatutnya menahan air, kini tidak lagi bekerja optimum.
Kerosakan tutupan hutan di hulu DAS membuat fungsi hidrologi seperti intersepsi, infiltrasi, evapotranspirasi dan pengendalian erosi hilang dan ia sudah lama terjadi.
Menurut beliau, ketika hutan rosak, tanah kehilangan keliangan, akarnya hilang, dan kebanyakan air hujan langsung berubah menjadi limpasan permukaan yang mengarah ke sungai.
Manakala badan bencana BNPB melaporkan mangsa bencana banjir dan tanah runtuh di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat mencapai 867 jiwa hingga Jumaat lepas, manakala 521 mangsa masih hilang. Lebih 2,600 orang dilaporkan cedera dengan sekitar 3.3 juta jiwa terkesan bencana.
Lebih seminggu selepas tragedi, Aceh Tengah masih terpinggir untuk didatangi kerana jambatan dan jalan turut hilang. Bekalan makanan terputus. Pakar ekonomi Indonesia menjelaskan kerugian akibat bencana yang melanda itu mencapai sekitar Rp60 trilion.
Kerugian ekonomi dan kemanusiaan akibat bencana jauh melampaui yang tercatat dalam angka, kerana ia berkaitan hilangnya mata pencarian, aset masyarakat dan nyawa manusia yang mustahil dinilai dengan wang semata-mata.






