KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing melakar pencapaian terbaik sejak digandingkan pada Mac lepas apabila mara ke final China Masters di Arena Shenzhen, semalam.
Pasangan ranking ke-85 dunia itu menewaskan wakil tuan rumah Zhu Yi Jun-Li Qian 21-12, 21-10 dalam aksi separuh akhir untuk menempah pertemuan dengan pasangan nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, pada final esok.
Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping sebelum itu menyingkirkan satu lagi beregu profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, 21-11, 24-22 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Dalam acara beregu lelaki, hasrat Malaysia menyaksikan final sesama sendiri tidak kesampaian selepas kedua-dua wakil negara terkandas di separuh akhir kejohanan berstatus Super 750 itu.
Gandingan baharu Tee Kai Wun-Yap Roy King tewas kepada beregu tuan rumah He Ji Ting-Ren Xiang Yu 21-23, 21-17, 17-21 selepas pertarungan 64 minit, manakala Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong turut gagal ke final apabila kalah kepada pilihan keempat dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, 16-21, 21-18, 11-21 dalam aksi selama 66 minit seperti dilapor Bernama.






