ARTIKEL

Dr. Sim (tengah) memukul gong sebagai simbolik perasmian SCCC 2026 sambil disaksikan tetamu kehormat lain di sebuah hotel, di sini, hari ini. GAMBAR: RAMIDI SUBARI

Hospital Umum Sarawak capai standard rawatan kritikal bertaraf antarabangsa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Hasil rawatan kritikal di Hospital Umum Sarawak (HUS) disifatkan setanding dengan kebanyakan negara Barat meskipun hospital tersebut berdepan kekurangan tenaga kerja, kata Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.

Beliau berkata, pencapaian itu membanggakan memandangkan HUS tetap berjaya meningkatkan kapasiti Unit Rawatan Rapi (ICU) kepada 99 katil.

Dr. Sim menyampaikan ucapan pada majlis perasmian SCCC 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini. GAMBAR: RAMIDI SUBARI

“Sebanyak 238 jururawat kini mengendalikan 99 katil ICU, bersamaan kira-kira 2.4 jururawat bagi setiap katil berbanding nisbah lazim antara 2.5 hingga 2.8 jururawat.

“Bagaimanapun, hasil rawatan kita setanding dengan kebanyakan negara Barat dan semua ini dilakukan dengan penuh semangat demi rakyat serta pembangunan Sarawak,” katanya ketika merasmikan Persidangan Rawatan Kritikal Sarawak (SCCC) 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurutnya, rawatan kritikal memerlukan kerjasama pelbagai disiplin kerana setiap anggota pasukan memainkan peranan yang boleh mempengaruhi hasil rawatan pesakit.

“Setiap orang mempunyai peranan dan perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing walaupun kecil kerana peranan itu mampu membawa perubahan kepada hasil rawatan.

“Justeru, saya mengucapkan tahniah kepada Pakar Perubatan Dalaman Akut merangkap Ketua Unit Rawatan Kritikal Perubatan (MCCU) HUS, Dr. Rachel Chin Wei Ven serta seluruh pasukannya atas semangat tinggi dalam memberikan perkhidmatan rawatan kritikal terbaik,” ujarnya.

Beliau menambah, komitmen warga HUS didorong oleh minat serta keinginan untuk berkhidmat kepada rakyat dan menyumbang kepada pembangunan Sarawak.

Dr. Sim (tiga kiri) diiringi tetamu lain ketika melawat pameran SCCC 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini. GAMBAR: RAMIDI SUBARI

Mengulas tentang masa depan rawatan kritikal, Dr. Sim berkata, teknologi dan kecerdasan buatan (AI) akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan keupayaan ICU.

Bagaimanapun, jelasnya, kemajuan itu juga berisiko melebarkan jurang antara negara kaya yang mampu memperoleh teknologi terkini dengan negara miskin yang terus ketinggalan.

“Pandemik COVID-19 membuktikan negara maju mampu memperoleh vaksin lebih awal, manakala negara miskin berdepan kesukaran untuk mendapatkannya,” tambahnya.

Namun, katanya, Sarawak tetap beraspirasi untuk memajukan perkhidmatan rawatan kritikal meskipun berdepan pelbagai kekangan dan yakin mampu berada dalam kelompok terbaik di rantau Asia-Pasifik seperti kejayaan Pusat Jantung Sarawak yang berada pada kedudukan ke-52 dalam senarai 100 pusat jantung terbaik Asia-Pasifik.

“Inilah legasi apabila ia tidak dinilai berdasarkan kehebatan seseorang ketika berkuasa atau memegang jawatan, sebaliknya melalui keupayaan mereka yang meneruskan usaha selepasnya,” tambahnya.

Mengulas tentang SCCC 2026, beliau berkata, persidangan rawatan kritikal pertama di Sarawak itu merupakan sebahagian daripada usaha pembangunan negeri, khususnya dengan pendekatan perspektif baharu, pandangan tempatan dan kecemerlangan global.

“Ini merupakan masa depan penjagaan kesihatan dan amat penting dalam usaha kita meningkatkan tahap perkhidmatan rawatan kritikal di Sarawak,” tegasnya.

Sementara itu, Dr. Rachel berkata, penganjuran SCCC 2026 merupakan pencapaian baharu dalam bidang rawatan kritikal di Sarawak.

Beliau yang juga Pengarah Program SCCC 2026 menjelaskan, tema persidangan, ‘Simfoni Menyatukan Minda, Menyelamatkan Nyawa’ mencerminkan kepentingan kerjasama pelbagai disiplin dalam merawat pesakit kritikal.

“Pemulihan pesakit tidak bergantung kepada seorang doktor, jururawat atau mesin kerana ia memerlukan kerjasama doktor, jururawat, ahli farmasi, pakar diet, ahli fisioterapi, pembantu perawatan kesihatan dan petugas pembersihan.

“Apabila kemahiran klinikal diselaraskan, komunikasi antara disiplin diperkukuh dan semua pihak menyatukan pemikiran, matlamat untuk menyelamatkan nyawa dapat dicapai,” ujarnya.

Menurutnya, MCCU yang bermula sebagai sebuah unit kecil pada 2025 kini berkembang menjadi unit rawatan kritikal dengan 13 katil bagi merawat pesakit kritikal yang memerlukan rawatan perubatan dalaman.

Dalam pada itu, katanya, jumlah pesakit menggunakan alat bantuan pernafasan yang dikendalikan HUS meningkat daripada hampir 2,300 orang pada 2020 kepada hampir 3,000 orang pada 2025.

“Peningkatan ini membuktikan beban perkhidmatan rawatan kritikal semakin besar dan menjadikan SCCC sebagai satu pencapaian penting dalam sektor kesihatan negeri ini,” jelasnya.

Beliau menambah, persidangan selama dua hari itu memberi tumpuan kepada rawatan kritikal secara menyeluruh merangkumi resusitasi akut, pengurusan cecair, penilaian hemodinamik, sokongan organ dan penyakit berjangkit.

“Perbincangan turut meliputi intubasi jujukan pantas (RSI), bantuan hayat kardiovaskular lanjutan (ACLS) serta terapi penggantian buah pinggang berterusan (CRRT).

“Selain itu, pakar dari Taiwan dijemput berkongsi pengetahuan tentang masa depan sistem berasaskan AI bagi membantu meningkatkan tahap rawatan kritikal tempatan,” katanya.

Dr. Sim (tengah) berbual dengan Dr. See Kay Choong (kanan) dari Hospital Universiti Nasional Singapura sebaik tiba pada majlis perasmian SCCC 2026 sambil disaksikan tetamu lain, di sini, hari ini. GAMBAR: RAMIDI SUBARI

BERITA LAIN

ICQS Biawak: Kajian siap hujung tahun ini

KUCHING: Cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak masih dalam penelitian menerusi kajian kemungkinan Pelan Induk Pembangunan Kawasan Sempadan Sarawak. Menteri

BERITA TERBARU

Projek Ngaga SMK Balingian meseti dirumban

KUCHING: Projek ngaga Sekula Sekondari (SMK) Balingian ti dikategori projek tejanggal enda tau enda diberi perati sereta dirumban dikena nentuka perengkaguna pelajar ulih tembu menyana.