ARTIKEL

Gerald mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana HSN 2026 Peringkat Negeri Sarawak, semalam. | Foto: UKAS

HSN Sarawak 2026 sasar 21,000 penyertaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Lebih 30 aktiviti bakal memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 Peringkat Negeri Sarawak di Betong, dengan kira-kira 21,000 penyertaan disasarkan sepanjang tiga hari penganjuran dari 16 hingga 18 Oktober depan.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, sambutan kemuncak dijadualkan berlangsung pada 17 Oktober dengan pelbagai aktiviti sukan dan program sampingan untuk disertai masyarakat.

Menurutnya, antara aktiviti yang dianjurkan termasuk larian, futsal, bola sepak, badminton, pickleball, sepak takraw dan bola jaring, selain pameran agensi serta penglibatan usahawan belia.

“Kita mengharapkan masyarakat di Betong sama-sama datang untuk meraikan dan bersama-sama bersukan bagi meningkatkan kesihatan serta mengamalkan gaya hidup sihat.

“Pada masa yang sama, aktiviti ini dapat mengeratkan silaturahim dan perpaduan yang lebih harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana HSN 2026 Peringkat Negeri Sarawak di Bilik Mesyuarat Kenyalang, Pejabat Residen Bahagian Betong, semalam.

Gerald berkata, penganjuran HSN peringkat Sarawak ditetapkan seminggu selepas sambutan peringkat kebangsaan pada 10 Oktober bagi memberi laluan kepada sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan jawatankuasa pengelola supaya memastikan koordinasi dan kerjasama antara semua pihak diperkukuh bagi menjamin kelancaran setiap aktiviti sepanjang sambutan.

“Aspek keselamatan dan pergerakan orang awam turut diberi perhatian, khususnya dalam penentuan lokasi serta susun atur program bagi memastikan keselamatan peserta dan orang ramai,” katanya.

HSN 2026 Peringkat Sarawak akan berpusat di Dewan Panglima Rentap, Betong dengan acara teras merangkumi Majlis Perasmian HSN 2026 Peringkat Negeri Sarawak, Larian Ria Madani dan Berjalan Ria Madani, masing-masing sejauh dua kilometer.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU