Trending

Hub Petrokimia S’wak rangsang ekonomi

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

SEBAGAI lokasi yang popular dengan industri hiliran berasaskan minyak dan gas, pemilihan Bahagian Bintulu sebagai Hub Petrokimia Sarawak adalah sesuatu yang amat ditunggu-tunggu.

Sesuai dengan reputasi dan kedudukan Bintulu yang strategik, ia adalah langkah wajar, dalam usaha kita untuk menerokai bidang tersebut.

Ia didedahkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika melakukan lawatan kerja sehari ke Bintulu, baru-baru ini.

Dalam lawatan tersebut Ketua Menteri meninjau tapak berkeluasan 1,068 ekar di Tanjung Kidurong untuk dibangunkan sebagai Hub Petrokimia Sarawak.

Tapak yang terletak 36 kilometer dari Taman Perindustrian Samalaju, dianggap sesuai untuk hub tersebut berdasarkan aksesnya kepada stok suapan, menjadi tumpuan aktiviti lapangan gas luar pesisir, selain berdekatan dengan saluran paip gas sedia ada.

Kawasan Tanjung Kidurong ini akan dibangunkan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bagi menyediakan kemudahan, sekali gus menarik kemasukan para pelabur.

Kini, SEDC sedang giat menjalankan beberapa kajian bagi menarik lebih banyak pelabur luar ke negeri ini.

Pembukaan kawasan ini sebagai hub petrokimia tidak hanya meningkatkan ekonomi Sarawak, malah akan membuka banyak peluang pekerjaan kepada siswazah mahir dalam bidang yang diperlukan.

Ia bakal mewujudkan 74,000 pekerjaan baharu kepada penduduk, di samping potensinya untuk menjana tambahan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara RM16 bilion dan RM20 bilion setahun kepada Sarawak.

Ini membolehkan Sarawak menambah nilai sumber aslinya sejajar dengan aspirasi negeri untuk mengukuhkan aktiviti hiliran dalam sektor minyak dan gas.

Yang pasti, hub petrokimia ini akan menjadi pemangkin kepada Sarawak untuk merealisasikan impian sebagai negeri maju menjelang 2030 nanti.

Sarawak kini sedang menuju ke aliran industri minyak dan gas.

Ia bakal memberi impak besar kepada ekonomi negeri ini. Kerajaan Sarawak dapat menubuhkan Lembaga Modal Insan Sarawak untuk melengkapkan rakyat negeri ini dengan kemahiran yang diperlukan bukan hanya dalam industri petrokimia.

Penduduk tempatan bakal meraih manfaat daripada projek dengan kos berbilion-bilion ringgit itu.

Hub berkenaan akan mendorong Sarawak untuk menjadi pemain utama industri minyak dan gas di rantau ini.

Memandangkan kelebihan geografi, aktiviti hiliran minyak dan gas sedia ada telah dikembangkan di Bintulu seperti Asean Bintulu Fertilizer, LNG dan aktiviti hiliran yang betul, hub petrokimia ini akan memberi kelebihan kepada Sarawak.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru