MUSIM tengkujuh atau Monsun Timur Laut yang sedang melanda beberapa negeri pantai timur meresahkan penduduk terutama yang tinggal berhampiran sungai dan pesisir pantai.
Lebih parah apabila hujan lebat yang berterusan untuk tempoh yang panjang boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
Malah sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar, risiko kejadian banjir kemungkinan besar boleh berlaku.
Mungkin ada dalam kalangan mereka yang tidak senang duduk apabila terpaksa mengharungi musim hujan yang begitu lama apatah lagi bagi komuniti maritim yang bergantung sepenuhnyua dengan sungai dan laut sebagai sumber rezeki.
Sepanjang enam bulan bermula akhir Oktober hingga April adalah waktu getir buat mereka terutama nelayan kecil yang menjalankan aktiviti perikanan dan penangkapan ikan di kawasan pesisir pantai.
Menyedari hakikat itu, kerajaan melalui agensi berkaitan mengeluarkan peringatan kepada nelayan yang ingin menjalankan aktiviti di laut supaya mengambil langkah keselamatan tambahan ekoran keadaan angin kencang dan laut bergelora.
Dalam pada itu, komuniti maritim harus sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca dan keadaan laut ketika ingin melakukan aktiviti perikanan.
Sebagai langkah keselamatan, mereka perlu membuat persediaan awal yang rapi bagi memastikan tiada insiden yang tidak diingini berlaku.
Justeru amat penting jika mereka mendapatkan maklumat ramalan cuaca terlebih dahulu bagi memastikan keadaan laut benar-benar selamat selain memastikan peralatan keselamatan seperti jaket serta pelampung keselamatan sentiasa dibawa dan berada dalam keadaan baik.
Mengikut rekod, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengkoordinasikan 2,428 operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) yang melibatkan 10,077 mangsa dan lebih RM650 juta nilai harta benda diselamatkan tahun lalu.
Antara kes yang dicatatkan itu melibatkan pelbagai sektor CARILAMAT antaranya insiden kapal dan bot, kehilangan nyawa di laut, pemindahan mangsa untuk tujuan perubatan (medevac) selain bantuan melibatkan aset dan lain -lain lagi.
Walaupun jumlah yang dicatatkan itu merangkumi pelbagai kes dalam tempoh setahun namun, kewaspadaan musim tengkujuh dalam kalangan warga maritim tetap menjadi salah satu tumpuan utamanya.
Merujuk kepada amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), keadaan angin kencang dan laut bergelora kategori pertama yang berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut, sukan laut dan aktiviti lain di laut.
Angin kencang serta laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka akan berterusan sehingga Januari depan.
Pada masa yang sama, mereka wajar mengambil langkah keselamatan tambahan dengan keluar secara berkumpulan untuk nelayan bot besar manakala bagi nelayan bot kecil pula, harus menangguhkan sementara operasi sehingga keadaan laut selamat supaya insiden yang tidak diingini dapat dielakkan.



