Hukuman berat pemandu mabuk

ISU pemandu mabuk begitu sinonim dalam kalangan masyarakat Malaysia. Mabuk yang bermaksud pening kepala iaitu hilang ingatan, tidak sedarkan diri dan sebagainya kerana meminum minuman keras.

Hakikatnya pemandu mabuk, membahayakan keselamatan awam kerana memandu dalam keadaan tidak sedarkan diri. Ia bukan sahaja menyusahkan orang lain, malah membahayakan diri sendiri.

Memahami keresahan rakyat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan kesalahan memandu ketika mabuk.

Ketepikan perbezaan politik kerana ini berkaitan nyawa manusia dan akibat yang perlu ditanggung waris mangsa. Apakah kesungguhan politik dalam kalangan pemimpin kita bagi menangani isu pemandu mabuk ini?

Mungkin kita boleh mengambil iktibar dari negara-negara lain yang melaksanakan hukuman berat dan berjaya dengan kaedah ini.

Statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan 21 kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk sepanjang lima bulan pertama tahun ini dengan lapan mangsa meninggal dunia, iaitu peningkatan ketara, berbanding 23 kes sepanjang tahun lepas.

Nyawa melayang begitu sahaja hanya disebabkan pemandu mabuk yang boleh mengundang risiko kemalangan 13 kali ganda, berbanding individu yang tidak berada di bawah pengaruh alkohol.

Untuk rekod, di Sarawak beberapa pemandu pelbagai jenis kenderaan ditangkap atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dengan bacaan melebihi had dibenarkan di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Tangkapan itu dibuat dalam 31 operasi mabuk yang dijalankan di bandar-bandar utama Sarawak. Daripada jumlah itu sebanyak 45 kes atau 90 peratus sudah dituduh di mahkamah serta semuanya mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 seorang.

Di Malaysia, mereka yang memandu dalam keadaan mabuk, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), membawa kepada hukuman denda RM1,000 hingga RM6,000 atau penjara 12 tahun.

Bagi pemandu mabuk yang menyebabkan kematian orang awam pula, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 44(1) akta sama, yang membawa hukuman denda RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara untuk tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi 10 tahun.

Lesen memandu mereka juga boleh digantung sehingga 10 tahun.

Berpandukan kedua-dua peruntukan ini, ternyata ia bukan hukuman yang berat kerana tidak membawa kepada hukuman mati walaupun hakikatnya ada nyawa melayang akibat kecuaian pemandu mabuk.

Tindakan mengusulkan pemindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), khususnya Seksyen 44(1) berkenaan pemandu mabuk yang menyebabkan kematian adalah langkah yang wajar.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, menggegarkan Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu dengan mengusulkan Rang Undang-Undang untuk meminda akta berkenaan dan sedang menunggu persetujuan Jemaah Menteri.

Usul yang dicadangkan ialah meminda hukuman penjara daripada dua hingga 10 tahun kepada penjara 15 tahun bagi kesalahan pertama dan penjara 20 tahun untuk kesalahan yang kedua.

Seterusnya, hukuman denda turut dipinda, daripada tidak kurang RM5,000 hingga RM20,000 kepada RM100,000 untuk kesalahan pertama dan RM150,000 untuk kesalahan yang kedua.

Tempoh penggantungan lesen turut dilanjutkan daripada 10 tahun dipinda kepada 20 tahun.

Suara Sarawak